Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setiap editor mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Editor merupakan pembaca pertama sesebuah karya, pembaca kritis dan penilai kandungan sesebuah karya dalam menerbitkan karya-karya yang bermutu tinggi.
Demikian menurut Ketua Editor Bahagian Majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Rosmani Omar melalui ucapannya dalam program “Sembang Santai: Karya Menarik, Editor Tertarik” anjuran Bahagian Majalah dalam memperkasakan dunia penerbitan bahasa Melayu dan melahirkan golongan penulis mampan.
Program ini diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.
Tambah beliau lagi, selain perlu mempunyai keberanian dalam menangani cabaran tempoh penerbitan sesuatu karya dan kerelevanan karya untuk diterbitkan, editor juga perlu berani melunakkan serta mencantas kandungan karya yang melibatkan perkara sensitif agar keharmonian sesebuah karya dapat dijaga.
Menurut Dr. Rosmani Omar,
Editor memainkan peranan penting dalam pengkaryaan seperti memperoleh, menyunting dan membilas karya sehingga karya kemas untuk diterbitkan dalam majalah.
Beliau turut menegaskan kepentingan perhubungan antara penulis dengan editor dalam memahami setiap karya yang hendak diterbitkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Editor Majalah ll, Puan Siti Norsuhaila Samsudin pula berkesempatan berkongsi tentang panduan penggunaan portal JendelaDBP.
Menurut beliau, di samping berperanan sebagai platform pembelajaran dan rujukan kepada pengguna, JendelaDBP menampilkan beberapa segmen menarik, antaranya termasuklah Sohor Kini (iaitu artikel tersohor dan berita tersohor) dan Pilihan Editor (artikel atau berita). Para penulis juga digalakkan menghantar karya sama ada artikel atau karya kreatif untuk diterbitkan menerusi ruangan yang ada.
Ujar beliau,
Pengguna JendelaDBP yang berminat untuk berkarya juga boleh menulis artikel atau tugasan berpandukan artikel yang telah diterbitkan sebagai rujukan.
Pada masa yang sama, beliau juga berkongsi tentang panduan pembelian produk terbitan DBP termasuklah majalah secara dalam talian menerusi ruangan “Ujana” kepada pengguna dalam usaha menyokong bahan terbitan DBP.

Menerusi program itu, Timbalan Ketua Editor I, Bahagian Majalah, Puan Marsilawati Mohamad Rani tampil memperkenalkan sidang editor bagi 11 judul majalah terbitan DBP dan empat judul jurnal terbitan DBP.

Sidang editor yang bersama-sama berkongsi pengalaman tentang penerbitan yang ditangani ialah Encik Abd Kadir Mohd Ayub (Editor Dewan Masyarakat), Encik Muhammad Fadhli Al-Akiti (Editor Dewan Sastera), Encik Muhammad Rasul Abd Manan (Editor Dewan Budaya), Encik Ahmad Sayuti Mohd Yusob (Editor Tunas Cipta), Encik Mohd Zuhaili Mat Junoh (Penolong Editor Dewan Ekonomi), Puan Norsuhaila Ibrahim (Timbalan Penolong Editor Pelita Bahasa), Puan Siti Zubaidah Sekak (Editor Dewan Bahasa), Puan Norfaranieza Muhd Ariffin (Editor Dewan Kosmik), Puan Syaza Wardina Abd Khalik (Editor Dewan Tamadun Islam), Puan Siti Irni Yuslinda Mosman (Editor Dewan Siswa), Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman (Editor Dewan Pelajar), Encik Mohd Syukri Anwar (Editor Jurnal Bahasa dan Kanun: Jurnal Undang-undang Malaysia) dan Puan Nurul Shaheza Zamri (Editor Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu dan Malay Literature).

Turut hadir dalam program ini termasuklah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Sylee Riza Arif dan Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd. Shukor.