Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 mampu menjadi platform perdana yang menampilkan pameran aset canggih bagi domain maritim dan aeroangkasa dari aspek keselamatan serta pertahanan udara.
Menurut Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, peluang ini seharusnya dioptimumkan oleh para pemegang taruh dalam usaha memodenkan keupayaan angkatan masing-masing bagi menghadapi ancaman masa kini dan hadapan.
“Tambah mustahak ketika ini, dari perspektif strategik ialah persekitaran keselamatan dan geostrategik yang tidak menentu, kewujudan pelbagai bentuk ancaman seperti ketidaktentuan hubungan kuasa besar, kejiranan Asia Tenggara yang kompleks, ancaman keselamatan bukan tradisional seperti keganasan dan ekstremisme, ancaman siber, ancaman keselamatan maritim dan bencana alam melibatkan implikasi terhadap keselamatan negara dan serantau,” titah baginda ketika berangkat mengadakan lawatan ke Pameran LIMA 2025 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri semalam.
Selain itu, baginda bertitah bahawa pemilihan tema LIMA 2025 pada tahun ini, iaitu Innovate Today, Thrive Tomorrow amat tepat, di samping menekankan kepentingan elemen inovasi dalam usaha meningkatkan daya saing industri.

Para usahawan dan perniagaan serta penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kedua-dua sektor berkenaan perlu ditingkatkan.
Tambah baginda lagi, sejak penubuhannya, LIMA merupakan pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik, selain menyediakan landasan terbaik untuk menjamin keselamatan dan pertahanan negara.
Memasuki penganjurannya edisi ke-17 oleh Malaysia, LIMA terus kekal menyediakan platform bagi pelbagai sektor termasuk pertahanan, komersial dan industri, dengan berfokuskan inovasi dan teknologi dalam arena maritim serta aeroangkasa.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
