Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan– Menjadikan kemenangan sebagai amanah dan tanggungjawab, dua penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang 2025 tampil dengan semangat luar biasa apabila bersepakat untuk menyalurkan semula sebahagian daripada hadiah wang tunai RM10,000 yang dimenangi demi pembangunan komuniti belia di Negeri Pahang.
Penerima anugerah kategori lelaki, Encik Mohamad Haikal Zakaria, 29 tahun dan penerima kategori wanita, Puan Nur Azreena Faizan, 26 tahun masing-masing menyatakan komitmen untuk memperkasakan golongan muda melalui penganjuran program pembangunan diri, kebajikan dan inisiatif sosial.
Pegawai Media Komunikasi Parlimen Maran dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran, YBrs. Encik Mohamad Haikal berkata kemenangan tersebut bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya satu peluang untuk memberikan semula kepada masyarakat belia yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan beliau.
“Saya sudah putuskan untuk salurkan sebahagian daripada wang kemenangan kepada Majlis Belia Daerah Maran. Saya tahu betapa perlunya organisasi belia dalam aspek dana untuk menggerakkan aktiviti. Apa-apa yang saya capai pada hari ini adalah hasil usaha bersama belia lain, dan ini merupakan sumbangan kecil saya kepada mereka,” ujar beliau ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah sempena Festival Belia Pahang di Wisma Belia, semalam.
Mohamad Haikal yang berasal dari Kampung Chenor, Maran mula bergiat aktif dalam gerakan sukarelawan sewaktu menuntut dalam jurusan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian di Chennai, India. Sekembalinya ke tanah air, beliau menubuhkan persatuan belia kampung serta melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi dan kebajikan anak muda. Beliau juga pernah menyertai misi kemanusiaan ke Vietnam dan Myanmar bersama Bulan Sabit Merah Malaysia.
“Syukur kepada Tuhan atas anugerah ini. Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil sokongan ramai seperti keluarga, sahabat dan seluruh warga belia. Saya bermula daripada kosong, dipelawa masuk ke dalam dunia belia dan inilah hasilnya. Ini kemenangan untuk anak muda desa!” ujar beliau dengan penuh rasa syukur.

Sementara itu, Bendahari Pengakap Negeri Pahang, Puan Nur Azreena Faizan turut menyatakan bahawa kemenangan tersebut merupakan satu amanah agar dapat terus berbakti kepada masyarakat, khususnya belia dan warga pengakap.
Beliau berkata sebahagian daripada wang kemenangan ini akan digunakan untuk kebajikan dan disalurkan semula kepada komuniti dan akan menganjurkan semula program-program berimpak sosial untuk manfaat orang ramai.
Beliau yang turut mengusahakan sebuah kedai jualan amal yang dikenali sebagai Scot Charity Shop, berkata kedai tersebut menjadi contoh pengurusan cemerlang kepada delegasi luar negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia yang datang mempelajari sistem pengoperasiannya.
“Kedai ini bukan sahaja dapat menjana kebajikan, malah menjadi simbol yang menunjukkan bahawa pasukan pengakap turut menyumbang kepada masyarakat secara langsung. Saya berharap kemenangan ini memberikan semangat untuk saya terus menyumbang dalam pembangunan belia dan pengakap negeri Pahang,” tambahnya.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang mewakili Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir dalam majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.