Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Dalam usaha untuk memperkasakan masyarakat luar bandar dalam menghadapi cabaran era digital, program celik digital adalah penting bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan mereka.
Demikian kata-kata Dr. Julaina Nopiah, penasihat program literasi digital “Klik Bijak Desa: Membimbing Komuniti Desa ke Arah Celik Digital” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh yang diadakan di Balai Raya Kampung Olak Sepam, Pagoh, Muar baru-baru ini.
Ujar beliau,
Dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi, jurang digital antara masyarakat bandar dengan desa perlu dikurangkan agar tidak ada golongan yang tercicir dari segi akses kepada maklumat, perkhidmatan dalam talian, serta kemudahan urusan harian seperti bayaran bil, urusan kewangan dan semakan bantuan kerajaan.
Menurutnya lagi, program seperti Klik Bijak Desa dapat membantu komuniti kampung menjadi celik teknologi, seterusnya memudahkan kehidupan seharian mereka dan meningkatkan keyakinan dalam menggunakan perkhidmatan digital secara selamat dan berkesan.
Melalui dua aktiviti utama yang telah dijalankan, iaitu “Sedia Klik” dan “Jejak Digital”, secara tidak langsung tahap pengetahuan asas penduduk kampung dalam penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian dapat dinilai.

Sementara itu, Ketua Kampung Olak Sepam, Encik Yaakob Abdullah, menyambut baik usaha murni yang dilaksanakan melalui program ini.
Beliau berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang lebih berkesan pada masa akan datang.
Kami sentiasa menyokong usaha sama ini dalam menjalankan program yang dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan digital kepada masyarakat kampung. Ilmu seperti ini semakin penting dalam kehidupan seharian pada masa ini.
Tambah beliau, program ini dapat membina asas ke arah komuniti desa yang lebih berdikari, berdaya saing dan bersedia menghadapi transformasi digital negara secara tidak langsung.
Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan celik digital dalam kalangan penduduk luar bandar, malah memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti setempat dalam usaha membentuk masyarakat yang inklusif dan celik teknologi.
Program ini melibatkan sebanyak 21 orang pelajar dari kursus SCSH 2163 Seksyen 519 Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dan penyertaan sebanyak 28 orang penduduk kampung merangkumi golongan dewasa yang berusia sekitar 31 tahun hingga 59 tahun serta warga emas (60 tahun ke atas).
Program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini turut memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat desa dan menyampaikan ilmu digital secara bersemuka dalam suasana santai dan penuh informasi.