Diterbitkan pada 19 Mei 2025, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Limbang – Sebanyak 196 orang murid dan pelajar dari 36 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Limbang menyertai Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubong, Limbang, Sarawak. Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini bertujuan untuk menyemai minat penulisan kreatif dalam kalangan generasi muda serta memperkasakan penggunaan bahasa Melayu melalui majalah.

Program Kembara MDK Peringkat Sarawak.

Program Kembara MDK yang dikendalikan oleh DBP ini, iaitu MDK Dewan Pelajar (untuk 97 orang murid sekolah rendah), MDK Dewan Siswa (untuk 99 orang pelajar sekolah menengah) serta Bengkel MDK untuk Guru (untuk 46 orang guru), mendapat sambutan hangat daripada warga pendidik, pelajar dan murid dari kawasan Limbang dan Lawas.

Murid-murid bersemangat menjawab soalan peribahasa dan simpulan bahasa sepanjang Program Kembara MDK Dewan Pelajar.

Antara sekolah rendah yang mengambil bahagian dalam Program Kembara MDK ini termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Limbang, SK Limpaki, SK Meritam, SK Nanga Merit, SK Telahak, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, SK Bandar Limbang, SK Batu Danau, SK Batu Empat, SK Bukit Luba, SK Gadong, SK Kampung Pahlawan, SK Kuala Awang, SK Kuala Medalam, SK Kuala Penganan, SK Kubong, SK Limpaku Pinang, SK Long Napir, SK Melaban, SK Melayu Pusat, SK Menuang, SK Merambut, SK Nanga Medamit, SK Pengkalan Jawa, SK RC Kubong, SK St Edmund, SK Sungai Poyan, SK Tanjong, SK Tedungan (Bambangan), SK Tiga Kampung, SK Ukong dan SK Ulu Lubai.

Selain itu, lima buah sekolah menengah yang turut terlibat termasuklah SMK Limbang, SMK Kubong, SMK Medamit, SMK Seri Patiambun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Limbang.

Peserta Program Kembara MDK Dewan Siswa menerangkan tentang isi cerpen yang bertemakan warisan.
Peserta Kembara MDK Dewan Siswa bergambar bersama-sama dengan penceramah dan fasilitator di Dewan Inspirasi SMK Kubong, Limbang.

Menurut Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP mewakili Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abdul Rasid Subet, usaha seperti Program Kembara MDK ini membolehkan penyebarluasan majalah yang berkualiti sebagai sumber rujukan di seluruh pelosok negara.

Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP mewakili Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Encik Abdul Rasid Subet.

“Semoga peserta pada hari ini mendapat manfaat daripada Program Kembara MDK dan berkongsi ilmu kepada guru-guru, pelajar-pelajar dan murid-murid yang lain,” ujar beliau. 

Encik Abdul Rasid menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja memberikan ruang kepada murid, pelajar dan guru di sekitar Limbang dan Lawas dalam mengekspresikan idea dan kreativiti melalui penulisan, malah mendekatkan mereka dengan dunia penerbitan secara langsung.

“Program Kembara MDK juga membantu guru-guru mengembangkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu melalui penggunaan bahan terbitan DBP yang relevan dan interaktif,” tambah beliau. 

Bengkel MDK untuk guru melibatkan 46 orang guru sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Dengan pendekatan yang menyeluruh dan kolaboratif, program ini diharap agar dapat mencungkil bakat muda dalam bidang penulisan serta menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan generasi pelapis negara, khususnya anak Sarawak,” tambah beliau sebelum merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara MDK Peringkat Sarawak 2025.

Program ini akan disusuli dengan Minggu Penulis Kanak-kanak Daerah Limbang yang dijadualkan berlangsung pada 20 dan 21 Mei (Selasa dan Rabu), juga melibatkan sekolah rendah di sekitar Limbang. Aktiviti sepanjang minggu tersebut merangkumi bengkel penulisan kreatif, perkongsian oleh pakar serta pameran buku dan majalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, YBrs. Encik Patrick anak Lukong; Guru Penolong Kanan Kokurikulum mewakili Pengetua SMK Kubong, Limbang, YBrs. Puan Mavis Shamany anak Bali; Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Puan Siti Norsuhaila Samsudin; Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Puan Hajah Roslin Majidi serta pengetua dan guru besar di sekitar Limbang dan Lawas.

Antara pihak yang menjayakan program ini termasuklah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Limbang, DBP Cawangan Sarawak, Bahagian Majalah DBP dan Akademi DBP.

Program Kembara MDK merupakan antara inisiatif DBP di bawah Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024–2030, khususnya di bawah Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan, dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan.

Kredit Foto: Arina Musthafa dan Norfazrie Isquandy Nurol
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi