Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 17 Mei 2025, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa keperluan untuk menyusun semula peranan dan tugas guru secara rasional adalah sejajar dengan keperluan pendidikan semasa.

Menurut beliau, kedinamikan dunia pendidikan pada hari ini jauh berbeza berbanding dengan suatu masa dahulu kerana realiti tugas guru kini bukan sahaja berperanan sebagai pendidik, malah memikul pelbagai tanggungjawab yang telah menyempitkan ruang mereka untuk mendidik para pelajar.

“Saya tidak mahu para guru dan pelajar dijadikan bahan uji kaji atau bertukar sukatan pelajaran semata-mata demi legasi pemimpin,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan bersempena dengan Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-54 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.

Mengulas hasil kajian guru bersara pada tahun 2023, beliau memaklumkan bahawa antara punca utama tekanan termasuklah beban kerja yang berlebihan, tekanan oleh pihak pentadbiran, persekitaran sosial di tempat kerja, buli, pelajaran murid, kecekapan kendiri dan prasarana.

Sehubungan dengan itu, beliau menggariskan lima hala tuju utama bagi menyusun semula ekosistem pendidikan negara, iaitu pelaksanaan perubahan secara inklusif dan saksama; merombak sistem tugasan guru; menjaga kebajikan semua lapisan guru; mempercepat transformasi digital secara adil; serta mewujudkan sistem pengiktirafan yang bermakna menerusi manfaat daripada sistem perkhidmatan.

Pada masa yang sama, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid juga menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya mempercepat penyelarasan isu pelantikan, penempatan dan kenaikan gred guru dengan menubuhkan jawatankuasa khas merentasi kementerian dan jabatan.

Selain itu, beliau menyifatkan bahawa teknologi digital yang semakin mendominasi ruang pembelajaran telah mempercepat capaian maklumat, namun pada masa yang sama turut mencairkan batas nilai dan mengikis rasa hormat dalam kalangan generasi muda.

“Dalam dunia yang bergelora ini, guru kekal sebagai benteng terakhir keinsanan. Sukatan boleh dirombak, peranti boleh diganti, tetapi jika nilai tercabut daripada akar pendidikan, maka hilanglah roh sebenar suluh budiman yang kita pegang selama ini,” ujarnya.

Kita sedang menyaksikan perubahan paradigma yang mendalam daripada pedagogi kepada andragogi, daripada guru ‘stage on stage’ kepada ‘guide on the side’, namun dalam transformasi ini, suatu hakikat bahawa guru tetap merupakan nadi utama yang menghidupkan roh pendidikan.

Di samping itu, beliau turut menyeru agar hala tuju pendidikan negara sentiasa ditambah baik dan perlu terus berevolusi untuk menjamin setiap anak Malaysia mendapat pendidikan yang relevan, seimbang dan bermakna.

Usaha membina ekosistem pendidikan yang kukuh dan pelaksanaan pelan strategik yang berdaya tahan amat penting bagi memastikan masa hadapan pendidikan negara tidak tergugat oleh arus perubahan zaman.

Dalam inti pati ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan komited melaksanakan perubahan yang bersifat proaktif dan berpandukan visi jangka panjang dalam sektor pendidikan negara.

Kini, usaha sedang dipergiat untuk memperkasakan pendidikan STEM dan memperkukuh TVET, apatah lagi kita turut meningkatkan mutu sukatan pendidikan Islam, pendidikan awal usia, serta menyuntik nilai pendidikan digital dan kesihatan emosi dalam sistem kita.

“Sekolah tidak lagi wajar menjadi sebuah institusi yang tertutup, tetapi harus menjadi pusat inovasi komuniti, tempat ilmu yang hidup dan nilai yang tumbuh seiring dengan harapan masyarakat di akar umbi,” katanya.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek; Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah; timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan KPM dan para guru.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi