Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melancarkan buku yang berjudul, Sirajus Siyadah: 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Auditorium Dr. Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, petang semalam.
Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat melancarkan buku tersebut dalam Wacana Wangsa Jamalullail: Sempena “Zynatul Muluk” Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis Ke-82.
Buku tersebut ditulis oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama dengan Dr. Haji Hazman Hassan dan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta dengan anakanda, YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Hajah Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj.

Program tersebut dimulakan dengan slot “Menjulang Wibawa Raja: Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin” oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.
Menyusul selepas slot tersebut ialah slot “Pemerkasaan Bahasa Melayu: Legasi Kepimpinan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail” yang dikongsikan oleh Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik DBP, Encik Abdul Ghani Abu.
Turut dilaksanakan ialah taklimat khas tentang “Kenang-kenangan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis” yang dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
