Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Samarahan – Cabaran dalam industri media masa kini merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan dan menuntut kehadiran individu yang berpengetahuan, berdisiplin serta menguasai pelbagai kemahiran untuk menceburi bidang kewartawanan.
Menurut Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar, profesionalisme wartawan sebenar pada hari ini tidak mudah dan perlu bersaing dengan “wartawan tidak rasmi” yang pada setiap hari menghasilkan kandungan dalam media sosial.
Jelas beliau, hanya mereka yang benar-benar berdaya tahan terhadap cabaran yang mendatang akan terus kekal dan berjaya dalam industri media.
Selain itu, beliau berkata penguasaan asas kewartawanan, minat terhadap isu semasa dan pengetahuan yang luas menjadi prasyarat penting bagi seseorang yang ingin bergelar wartawan.
“Tanpa ilmu dalam minda, seseorang itu tidak akan mampu menjadi wartawan yang berwibawa,” ujarnya dalam Program Wacana Ilmu Komnikasi dan Bahasa berlangsung di Space Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) semalam.
Beliau turut menyuarakan kebimbangannya terhadap generasi muda yang dilihat kurang peka terhadap perkembangan semasa, meskipun akses kepada maklumat pada hari ini jauh lebih mudah melalui peranti pintar kerana antara kriteria utama wartawan termasuklah kepekaan terhadap persekitaran, selain penguasaan ilmu komunikasi.
Mengulas perubahan dalam industri media, wartawan masa kini perlu bersedia menjadi profesional media pelbagai dimensi dengan menguasai pelbagai platform seperti digital, media sosial, cetakan dan penyiaran secara serentak.
Begitulah pesatnya evolusi industri media dari tahun ke tahun dan perkara ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana zaman kini sangat mencabar.
Perkara paling penting ialah cara anda melengkapkan diri, memahami dan menggambarkan persekitaran yang menuntut penguasaan ilmu merentasi semua platform yang semakin kompleks dan mencabar.
Kata beliau, pelajar perlu mula mengasah kemahiran dalam bidang kewartawanan sejak berada di kampus lagi sebelum melangkah ke alam kerjaya kerana pengalaman di universiti merupakan landasan terbaik untuk membina asas dalam pelbagai genre kewartawanan.
Tambah beliau lagi, peluang menerbitkan kandungan kini lebih luas dalam pelbagai platform seperti portal digital, media sosial atau saluran berita arus perdana dan tidak lagi terbatas kepada artikel bercetak semata-mata.
“Jangan hadkan diri anda pada satu platform sahaja dan banyak kelebihan yang generasi anda nikmati berbanding kami dahulu hanya bergantung pada televisyen, radio dan blog sahaja,” katanya.
Beliau yang memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penyiaran, menegaskan bahawa pelajar dalam bidang bahasa dan linguistik mempunyai potensi besar dalam industri media memandangkan asas kemahiran berbahasa merupakan elemen penting dalam dunia tersebut.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan para pelajar dalam bidang komunikasi agar tidak terlalu menyempitkan hala tuju kerjaya mereka kepada profesion seperti pensyarah bahasa dan linguistik, sebaliknya melihat bidang tersebut memiliki landasan kerjaya yang relevan dan luas, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kecenderungan dalam bidang media.
Dalam inti pati perkongsiannya juga, beliau memaklumkan bahawa persepsi media di negara ini tidak bebas merupakan tanggapan yang kurang tepat kerana kebebasan media yang wujud perlu bergerak dalam garis panduan yang telah ditetapkan, sesuai dengan konteks norma dan budaya Malaysia.
“Sebagai wartawan, saya mahu membawa naratif yang baik pada peringkat nasional. Generasi muda perlu melihat media sebagai medium perpaduan, keharmonian dan penyatuan rakyat Malaysia dan bukannya naratif yang keras atau menghukum,” tegasnya.
Beliau amat mengalu-alukan anak muda menyertai industri media dalam usaha menyambung legasi generasi terdahulu dalam industri media dan menyeru agar institusi pengajian tinggi dan industri terus menjalinkan kolaborasi yang erat untuk mengelakkan para pelajar ketinggalan.
Program Wacana Ilmu Komnikasi dan Bahasa merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah; Timbalan Dekan (Pengajian Prasiswazah), YBrs. Dr. Remmy Gedat; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengkomersialan), YBrs. Dr. Jamali Bujang Sanawi; Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), YBrs. Dr. Noratikah Mohamad Ashari; Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Puan Edith Sulie Bidas; para pensyarah dan pelajar.
