Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 14 Mei 2025, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad memaklumkan bahawa tema Hari Guru 2025, iaitu Pemacu Masa Hadapan Pendidikan mencorak guru sebagai penterjemah, pemacu dan pemangkin dalam arus pendidikan.

Perkara ini dimaklumkan oleh YBrs. Dr. Rusmini dalam Forum Pendidikan Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Waterfront, Sarawak, pada pagi tadi.

Beliau menambah bahawa guru merupakan penterjemah dasar reformasi dan pendekatan kepada murid-muridnya di sekolah.

“Sebagai contoh, satu daripada reformasi pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah intervensi kurikulum yang  dilaksanakan di dalam bilik darjah.”

Kata beliau, sebanyak 1,222 orang murid tahun satu yang tidak menguasai intervensi kurikulum telah dibantu oleh guru yang berhempas pulas mengajar murid, serta kerjasama daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan KPM.

Dalam inti pati ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa guru juga merupakan pemangkin dalam merealisasikan hasrat kerajaan MADANI untuk melahirkan generasi muda yang beradab tinggi, berfikiran kritis dan kreatif.

Selain itu, menurut beliau lagi, barisan pegawai KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan turut sama membantu guru di sekolah bagi merealisasikan hasrat dasar reformasi yang telah ditetapkan oleh KPM.

“KPM dan JPN akan terus memberikan sokongan padu kepada para guru, selain membantu merealisasikan pelaksanaan dasar KPM,” ujar beliau.

Barisan tetamu kehormat bersama-sama dengan para hadirin dalam Forum Pendidikan bertajuk Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan yang berlangsung di Dataran Waterfront, Kuching.

Di samping itu, dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beliau menyatakan bahawa beberapa anjakan telah berjaya dicapai, antaranya termasuklah mentranformasikan keguruan sebagai profesion pilihan.

“KPM berjaya melantik guru-guru pelatih yang profesional dan berkualiti pada peringkat sekolah menengah,” ujarnya.

KPM akan melaksanakan kurikukulum baharu pada tahun 2027 kepada murid tahun satu dan tingkatan satu. Manakala, pada peringkat  pra-sekolah pula akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

Selain itu, KPM turut memperkenalkan pembelajaran bersepadu menerusi pelaksanaan kurikulum 2027 bagi pelajar tahun satu dalam aliran muzik, seni, sains dan pendidikan kesihatan.

“Murid-murid dapat mempelajari pelbagai aliran secara bersepadu di sekolah bagi melahirkan pemikiran yang kreatif dan kritis sewaktu pembelajaran di dalam bilik darjah,” jelasnya.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama dengan barisan pegawai kanan KPM.

Turut hadir sama dalam forum pendidikan ini termasuklah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Abang Halim Abang Julai; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmanalinda Mustapa; pegawai kanan KPM, guru dan para pelajar institut pendidikan guru.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi