Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Mei 2025, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Profesionalisme guru merupakan elemen utama dalam memacu reformasi pendidikan negara, khususnya bagi mendepani masa hadapan yang berorientasikan teknologi dan digital.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan bahawa guru sebagai ejen signifikan yang membawa islah dan pembaharuan memainkan peranan penting dalam usaha membentuk generasi muda negara.

Dalam Forum Pendidikan bertajuk Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Waterfront pagi tadi, beliau berkata bahawa peranan guru sebagai pemacu reformasi pendidikan tidak boleh dinafikan dalam konteks perubahan global yang menjangkakan peralihan pendidikan digital secara menyeluruh menjelang tahun 2030.

Hal ini demikian kerana Deklarasi Incheon 2015 telah menekankan perkara tersebut dalam Forum Dunia tentang Pendidikan anjuran Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Incheon, Korea Selatan sebelum ini.

“Dunia sedang beralih daripada era analog kepada era digital. Kita bakal berdepan dengan fenomena negara menua, perubahan iklim serta peralihan kemahiran manual kepada kemahiran digital seperti pengaturcaraan, robotik dan kecerdasan buatan,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa sistem pendidikan hari ini perlu memastikan kurikulum yang dibangunkan benar-benar relevan dan bersifat futuristik.

Oleh itu, latihan dan kursus pembangunan profesional guru juga hendaklah bersifat strategik dan memberikan impak yang tinggi dari segi pulangan pelaburan (ROI) dan berbaloi.

Tambah beliau lagi, latihan perguruan yang dilaksanakan tidak wajar dilihat sekadar memenuhi agenda tetapi mestilah mampu menjadikan guru lebih bersemangat dan komited memacu pembaharuan dalam bidang pendidikan negara.

Suasana Forum Pendidikan bertajuk Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang berlangsung di Dataran Waterfront, Kuching.

“Sambutan Hari Guru mempunyai dua perspektif, iaitu untuk masyarakat mengenang jasa guru dan untuk guru juga mengenang budi kerana telah dipilih sebagai individu yang menjadi penggerak kepada reformasi pendidikan untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, guru perlu membawa agenda pendidikan ke seluruh pelusuk negara termasuklah di bandar, di desa dan di kawasan pedalaman serta pelaksanaan reformasinya perlu disokong oleh prasarana yang mencukupi.

Malah, kerjasama erat antara pelbagai peringkat institusi pendidikan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah amat penting.

Pada peringkat KPM, dasar pendidikan dirangka; JPN pula bertindak sebagai koordinator tindakan yang perlu diambil; PPD berperanan membantu sekolah sebab kita mahu melihat inisiatif yang diambil bersifat ‘tailor-made’ bukan sekadar agenda.

Sekiranya semua pihak boleh menjalankan peranan masing-masing dengan baik, pendidikan negara akan mampu sampai ke peringkat akar umbi.

Mengulas mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), YBrs. Dr. Mohd Azam menjelaskan bahawa dasar kedua-dua peperiksaan ini sudah selesai pada tahun 2011, namun pelaksanaannya sering disalah tafsir.

Dalam inti pati perkongsiannya juga, fokus pendidikan hari ini bukan terhadap pencapaian peperiksaan semata-mata tetapi lebih tertumpu kepada pembangunan insaniah secara menyeluruh dan berdaya tahan dalam era digital.

Teknologi digital seharusnya dilihat sebagai alat dan matlamat utama dalam sistem pendidikan negara untuk melahirkan pelajar yang bersifat ‘human being’ (kemenjadian insan), bukan ‘human doing’ (perilaku insan).

Hal ini yang dikatakan sebagai konsep pendidikan manusiawi daripada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Oleh itu, pendidikan berteraskan peperiksaan perlu dinilai semula kerana keutamaan pada masa ini adalah untuk membangunkan pelajar yang mempunyai kemampuan menyesuaikan diri dalam dunia digital serta mampu berfikir secara kritis.

Sekiranya nilai kemanusiaan tidak diterapkan dalam amalan pedagogi yang kini semakin bergantung kepada kecerdasan buatan, hal tersebut dikhuatiri akan memberikan kesan negatif terhadap pembangunan para pelajar.

Beliau turut mengingatkan para guru sebagai golongan profesional agar sentiasa memperbaharu ilmu, kemahiran dan motivasi, manakala pengetua serta guru besar pula harus menggerakkan Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di sekolah bagi memastikan pedagogi yang sesuai dapat dilaksanakan demi meningkatkan minat murid.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad (kanan) selaku ahli panel Forum Pendidikan.

Turut hadir memeriahkan forum tersebut ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda Mustapa, pegawai kanan KPM, para guru dan pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi