Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 13 Mei 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia selama empat hari bermula hari ini hingga 16 Mei 2025.

Menurut Kementerian Luar Negeri, beliau berada di Moscow dari 13 hingga 15 Mei 2025 sebelum ke Kazan, Republik Tatarstan pada 15 dan 16 Mei 2025 untuk menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI Russia–Islamic World: KazanForum.

Selain itu, jelas pihak kementerian, beliau akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan Presiden Rusia, Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir Putin dan Perdana Menteri Rusia, TYT Mikhail Mishustin di Moscow.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agrokomoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga,” katanya dalam suatu kenyataan semalam.

Tambah kenyataan tersebut, kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi kerangka Hubungan Dialog ASEAN–Rusia,” ujarnya.

Di samping itu, YAB Dato’ Seri Anwar dijadualkan akan mengadakan sesi meja bulat bersama-sama dengan pemimpin industri; menyampaikan syarahan umum di Institut Negeri Hubungan Antarabangsa Moscow (MGIMO); serta mengadakan pertemuan bersama-sama dengan diaspora Malaysia di Moscow.

Sementara itu, bagi lawatan rasmi di Kazan pula, beliau bakal mengadakan pertemuan dengan Rais Republik Tatarstan, TYT Rustam Minnikhanov dan menyampaikan ucap utama khas semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia–Islamic World.

“Kemuncak bagi lawatan YAB Perdana Menteri di Kazan ialah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa XVI Russia–Islamic World: KazanForum yang mana beliau telah dijemput untuk menyampaikan ucap utama dalam sesi pleno,” jelasnya.

Malah, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa penganjuran KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dengan negara Islam.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Persekutuan Rusia pada kali ini diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia, di samping memperkasa kerangka kerjasama serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.

Pada tahun lalu, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan yang diproses, manakala import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, serta bahan dan produk berasaskan kimia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi