Diterbitkan pada 7 Mei 2025, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan komunikasi berasaskan data, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Seksyen Latihan dan Pembangunan, Jabatan Pendaftar telah menganjurkan Bengkel “Pengurusan Data: Dari Data ke Infografik” yang berjaya menarik penyertaan sebanyak 40 warga kerja daripada pelbagai jabatan dan bidang tugas baru-baru ini.

Bengkel tersebut memfokuskan pada kemahiran pengurusan data secara strategik serta teknik visualisasi yang berkesan melalui platform digital seperti Canva dan Piktochart. Peserta turut didedahkan kepada penggunaan asas Microsoft Excel dalam menganalisis dan menyusun data.

Menurut Ketua Seksyen Latihan USIM, Yang Berusaha (YBrs.) Sharifah Norabidzah Nurul Aida Syed Saaid, penganjuran bengkel ini sejajar dengan agenda pendigitalan USIM serta matlamat memperkukuh budaya kerja berasaskan data dalam kalangan warga universiti.

“Kursus ini merupakan Kursus Fungsional yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran staf dalam pengurusan data secara manual kepada pelaporan data berbentuk infografik yang boleh digunakan dalam meningkatkan prestasi kerja staf seiring dengan kepantasan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pekerjaan terutamanya dalam penghasilan laporan,” jelas beliau.

Warga kerja daripada pelbagai jabatan dan bidang USIM yang turut serta dalam Bengkel Pengurusan Data: Dari Data ke Infografik baru-baru ini.

Pendekatan bengkel yang interaktif membolehkan peserta menghasilkan infografik berdasarkan situasi kerja sebenar, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka menyampaikan maklumat dengan lebih menarik serta mudah difahami.

Salah seorang peserta program, Puan Saraina Kassim, 41, menyifatkan bengkel ini sangat relevan dan praktikal, serta memberikan nilai tambah dalam tugasan harian khususnya mengurangkan masa dalam penyediaan data dan pembentangan laporan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam usaha memperkasakan modal insan ke arah kecemerlangan sejajar dengan tuntutan era digital masa kini.

Kredit Foto: Noorumaina Mohamed Yunus
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi