Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai peneraju bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik terus memperkukuh usaha penyebaran ilmu melalui kerjasama strategik bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Kerjasama tersebut dimeterai melalui Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBP dengan UMT yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT, hari ini.

MoU ini menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk menggabungkan kepakaran masing-masing dalam memperkukuh penerbitan ilmiah serta memperkasakan program pembudayaan ilmu secara menyeluruh.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, kerjasama ini akan dapat membawa pelbagai manfaat yang signifikan dalam bidang sains dan teknologi, sains sosial dan kemanusiaan serta bidang bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

“Semoga dengan termeterai semula perjanjian persefahaman ini, penerbitan bersama akan lebih banyak dilaksanakan, khususnya dalam usaha mendokumentasikan warisan khazanah Negeri Terengganu Darul Iman supaya dijadikan rujukan generasi akan datang,” jelas Pro-Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital), Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor yang mewakili Naib Canselor UMT.

Pada masa yang sama, majlis tersebut turut meraikan 52 orang pengarang daripada 78 orang pengarang keseluruhan (termasuk pengarang bersama) yang berjaya menerbitkan buku sepanjang tahun 2024.
Yang turut hadir dalam majlis bersejarah ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Wilayah Timur; YBrs. Puan Ariza Che Ismail dan Pengarah Penerbit UMT, YBrs. Profesor Madya Dr. Che Hasniza Che Noh.