Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 5 Mei 2025, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis,Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima kunjungan sembah mengadap Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Balai Menghadap Biru, Istana Arau.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menteri Kerja Raya mempersembah maklumkan mengenai status terkini perancangan, pembinaan, penyelenggaraan serta usaha menaik taraf infrastruktur yang dilaksanakan melibatkan kementerian beliau dan juga Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis kepada Baginda berdua.

Taklimat oleh beliau turut merangkumi penambahbaikan prasarana sedia ada demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri ini.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Sazali Harun serta Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), YBrs. Puan Zainora Zainal.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap daripada YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Istana Arau sambil disaksikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Kunjungan tersebut membincangkan status pembangunan infrastruktur di Perlis.

Lawatan kerja YB Datuk Seri Alexander ke Perlis ini merupakan sebahagian daripada usaha turun padang bagi meninjau dan memantau kemajuan pelbagai projek pembangunan infrastruktur strategik yang sedang giat dilaksanakan supaya sentiasa dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual tanpa kelewatan selaras dengan aspirasi MYJalan dan matlamat Sifar Projek Sakit 2025.

Persinggahan pertama beliau ialah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meninjau tiga projek pembangunan utama, iaitu Masjid dan Pusat Islam; Dewan Besar dan Pusat Pengajian Kejuruteraan.

Delegasi KKR turut mengadakan lawatan ke projek pembinaan jalan Kampung Chuping–Kampung Guar Musang–Kampung Panggas Besar sepanjang tiga kilometer selain meninjau projek Mercu Tanda Jubli Perak DYMM Tuanku Raja Perlis di Padang Besar yang menjadi simbol kesetiaan rakyat sempena 25 tahun pemerintahan baginda.

Pada masa yang sama, aspek penyelenggaraan jalan sedia ada juga diberikan perhatian, antaranya melawat laluan FT226 Jalan Kaki Bukit–Wang Kelian untuk pembaikan jalan berturap secara berkala.

YB Datuk Seri Alexander turut mengadakan sesi taklimat umum bersama-sama dengan ahli-ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Perlis.

Kredit Foto: Istana Arau
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi