Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAbu Dhabi – Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi (PBAAD) 2025 yang kini memasuki hari kesembilan bakal melabuhkan tirainya pada 5 Mei 2025.
Edisi ke-34 pesta buku terkemuka ini bukan sahaja menampilkan pelbagai penerbit dan penulis dari seluruh dunia, malah turut mempersembahkan warisan budaya dan kesenian tempatan yang kaya dari negara pempamer.
Berbeza daripada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), PBAAD dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi.
Pada tahun ini, Kepulauan Caribbean diangkat sebagai Negara Tamu. Kepulauan Caribbean yang terdiri daripada 13 negara berdaulat dan lebih daripada 7,000 pulau ini bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadinya tetapi juga kaya dengan budaya dan bahasa. Tiga bahasa utama yang dituturkan termasuklah bahasa Inggeris, Sepanyol dan Perancis selain bahasa Creole dan Belanda.
Dunia kesusasteraan Caribbean turut disorot melalui karya besar seperti Omeros karya Derek Walcott dari Saint Lucia yang dianggap sebagai puisi epik terbaik pada abad ke-20 serta Wide Sargasso Sea oleh Jean Rhys Tackles dari Dominican yang mengangkat isu kolonialisme dan perkauman.
Novel terkenal A House for Mr. Biswas karya V.S Naipaul dari Trinidad pula mengupas isu identiti pascakolonial, manakala Small Island tulisan Andrea Levy yang mengisahkan kehidupan pendatang Jamaica pascaperang London telah diangkat ke layar televisyen.

Keunggulan sastera Caribbean turut diiktiraf pada peringkat global melalui tiga tokoh pemenang Hadiah Nobel, iaitu Dr. Derek Walcott (Kesusasteraan, 1992), V.S Naipaul (Kesusasteraan, 2001) dan Sir Arthur Lewis (Sains Ekonomik, 1979).

Selain itu, PBAAD 2025 turut mengangkat Ibnu Sina atau Avicenna sebagai Tokoh Tumpuan (Focus Personality). Tokoh agung ini merupakan sarjana Islam yang masyhur dalam bidang perubatan, falsafah dan sains. Beliau yang dilahirkan pada tahun 980 Masihi di Afshona, Uzbekistan dan wafat pada tahun 1037 Masihi digelar sebagai “Bapa Perubatan Moden”.

Karya agung beliau, Kitab al-Qanun fi al-Tibb (The Canon of Medicine) menjadi rujukan utama dalam bidang perubatan selama berabad di Eropah dan dalam dunia Islam. Pengaruh beliau dalam dunia ilmu masih dirasai sehingga kini yang menjadikan beliau sebagai figura penting dalam sejarah sains global.

PBAAD 2025 membuktikan bahawa pesta buku bukan sahaja medan untuk meraikan penerbitan tetapi juga merupakan suatu platform silang budaya dan penghargaan terhadap tokoh ilmu sejagat.