Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand bernilai RM141.58 juta dijangka siap lebih awal daripada tarikh sasaran asal, iaitu September 2025.
Projek yang bermula pada 21 Jun 2024 itu telah mencatat kemajuan sebanyak 47 peratus setakat 29 April 2025.
Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau turun padang meninjau perkembangan projek sebagai sebahagian daripada hasrat Kerajaan MADANI dalam usaha mempertingkatkan mutu pelaksanaan kerja serta memastikan projek infrastruktur dilaksanakan secara berkesan.
“Projek ini adalah milik Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dilaksanakan oleh Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia,” katanya semasa lawatan kerja ke tapak projek, semalam.
Tambah beliau, kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya terus komited dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara, khususnya pembinaan dan penaiktarafan jalan raya di kawasan sempadan bagi meningkatkan keselamatan serta memperkukuh kegiatan ekonomi rentas sempadan.
“Saya telah mengarahkan JKR Malaysia, JKR negeri dan pihak kontraktor agar terus bekerjasama secara sinergi untuk memastikan projek ini disiapkan mengikut spesifikasi, belanjawan dan tempoh yang ditetapkan selaras dengan sasaran sifar projek sakit,” ujarnya lagi.
Apabila siap kelak, jalan ini dijangka mempercepatkan proses imigresen serta melancarkan aliran trafik di sempadan Malaysia–Thailand bagi semua jenis kenderaan termasuklah awam dan komersial.
Projek ini tercetus hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke sempadan Malaysia–Thailand pada November 2023 atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin. Pembinaan ini dijangka memberikan impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
Skop utama projek melibatkan pembinaan jalan berkembar enam lorong sepanjang 900 meter di sempadan Malaysia–Thailand serta pembinaan Jalan Perkhidmatan sepanjang 300 meter menuju ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam. Hal ini turut merangkumi kerja meroboh dan menggantikan bangunan serta kemudahan lama dengan kemudahan baharu bagi Kem Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan.