Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

NILAI – Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah kelolaan Knowledge Management Team hari ini telah menganjurkan satu program ilmiah bertajuk The Future of Knowledge Management Talk bertempat di Bilik Seminar, Perpustakaan USIM, baru-baru ini.

Program yang berlangsung ini menampilkan tokoh ilmuwan terkemuka, iaitu Profesor Emeritus dari Pusat Tamhidi USIM dan Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin sebagai penceramah jemputan.

Penceramah jemputan Profesor Emeritus dari Pusat Tamhidi USIM, Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin (tengah) bergambar bersama-sama dengan warga USIM.

Program ini bertujuan untuk memperkasakan kefahaman warga universiti terhadap perkembangan terkini dalam bidang Pengurusan Pengetahuan atau Knowledge Management (KM) yang semakin penting dalam era digital.

Selaras dengan objektif program yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai trend semasa dan masa depan, bidang Pengurusan Pengetahuan membincangkan cabaran serta peluang dalam pelaksanaan KM di institusi pengajian tinggi, memberikan pendedahan mengenai teknologi dan inovasi yang mempengaruhi landskap KM, serta mempertingkatkan kesedaran tentang peranan KM dalam menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pengurusan pentadbiran universiti.

Profesor Emeritus dari Pusat Tamhidi USIM, Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menyampaikan kepentingan ilmu pengetahuan dalam program The Future of Knowledge Management Talk di USIM, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Professor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, menegaskan bahawa pengetahuan kini tidak lagi bersifat statik kerana sudah menjadi sumber dinamik yang perlu diurus, dikongsi dan dimanfaatkan secara strategik agar universiti terus kekal relevan dan mampu bersaing.

Beliau turut menekankan bahawa ilmu bukan sekadar alat untuk berjaya, tetapi juga satu anugerah yang mengangkat martabat manusia. Selari dengan Hadis Riwayat al-Tirmizi (No. 2685): “Keutamaan seorang alim (ilmuwan) atas seorang ahli ibadah adalah seperti keutamaanku atas orang yang paling rendah di antara kalian.

“ Hadis ini menekankan pentingnya menuntut ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain, serta menunjukkan bahawa ilmu memiliki kedudukan yang tinggi dalam Islam. Menuntut ilmu bukan sekadar aktiviti akademik, tetapi satu bentuk ibadah yang mengangkat martabat manusia, membuka jalan ke syurga, dan menjadi amalan yang berterusan manfaatnya”, tambah beliau.

Beliau turut menerangkan bahawa dengan ledakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan platform kolaboratif, pendekatan tradisional dalam pengurusan pengetahuan perlu digantikan dengan kaedah yang lebih inovatif serta berimpak tinggi.

“Cabaran utama dalam pelaksanaan pengurusan pengetahuan ialah kurangnya kefahaman yang jelas dalam kalangan warga berorganisasi mengenai kepentingan ilmu serta budaya perkongsian pengetahuan. Konsep 5M — Mandate, Manpower, Money, Machine dan Method sebagai kerangka pelaksanaan pengurusan pengetahuan di USIM bakal diterajui oleh pihak Perpustakaan,” jelas beliau lagi.

Warga akademik dan pentadbiran universiti yang turut menghadiri program ilmiah tekun mendengar apa yang disampaikan oleh penceramah.

Program ini dilihat bertepatan dengan peranan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam menjana ilmu, tetapi juga memastikan penyebaran dan manfaat ilmu pengetahuan berlaku secara sistematik dan menyeluruh.

Gambar kenangan Penceramah jemputan Profesor Emeritus dari Pusat Tamhidi USIM bersama-sama  warga akademik dan pentadbiran universiti USIM.

Selain itu, program ini juga membuka ruang perbincangan antara warga akademik dan pentadbiran universiti mengenai strategi terbaik dalam membina ekosistem KM yang berdaya tahan dan inklusif.

Melalui penganjuran program sebegini, USIM akan terus komited dalam memperkukuh pengurusan pengetahuan sebagai asas kepada kecemerlangan institusi, sekaligus memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pentadbiran.

Kredit Foto: Azlina Othman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi