Diterbitkan pada 2 Mei 2025, 20:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima penghormatan tertinggi anugerah Kosovo, iaitu Order of Independence yang merupakan satu pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Malaysia.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden Kosovo, Dr. Vjosa Osmani Sadriu kepada Perdana Menteri dalam satu majlis ringkas di Bangunan Perdana Putra di sini.

Anugerah itu merupakan penghormatan awam tertinggi yang diberikan oleh Kosovo kepada individu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara berkenaan.

Perdana Menteri dan Dr. Vjosa Osmani Sadriu turut mengadakan perbincangan dua hala khususnya dalam meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama dengan Dr. Vjosa Osmani Sadriu mengadakan perbincangan dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pendidikan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu senada tatkala membicarakan isu-isu antarabangsa yang menjadi keprihatinan bersama, iaitu merangkumi soal perjuangan rakyat Palestin dan keamanan sejagat.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan serta sokongan berterusan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap kemerdekaan dan pembangunan di Kosovo,”ujar beliau.

Dalam sidang media, beliau bersama-sama Dr. Vjosa Osmani Sadriu, menegaskan bahawa hubungan Malaysia dengan Kosovo bukan sekadar ikatan diplomatik biasa, sebaliknya turut mencerminkan komitmen Malaysia sebagai sahabat sejati kepada rakyat Kosovo.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata pihaknya turut menyambut baik keputusan Kosovo membuka kedutaannya di Kuala Lumpur. Hal ini merupakan langkah penting yang akan memperkukuh hubungan dua hala dan membuka peluang kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, pendidikan, budaya, pelancongan sektor halal dan sebagainya.

Begitu juga dengan aspek pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa turut memberikan ruang kepada Kosovo untuk menembusi pasaran lebih luas dan menyeluruh.

Lawatan rasmi ini dianggap sebagai detik bersejarah memandangkan Malaysia menjadi antara negara terawal mengiktiraf Kosovo sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. Malaysia mengikuti rapat sejarah perjuangan Kosovo dan menzahirkan kekaguman terhadap ketabahan rakyatnya berdepan dengan penindasan.

“Saya turut nyatakan komitmen Malaysia untuk mempercepat rundingan bagi memperkasakan hubungan ekonomi, pelaburan dan program strategik antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri semasa mengakhiri ucapannya.

 

Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi