Diterbitkan pada 30 April 2025, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Melihat potensi dan keperluan kerjaya pelaut yang semakin mencuri perhatian sejak akhir-akhir ini, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis menerusi program Teknologi Marin Lestari telah menganjurkan Program Marine Technology (MARTECH) Career Talk di Dewan Kuliah Tujuh, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke Siew Fook pernah menyuarakan kebimbangan beliau tentang keperluan menambah jumlah pelaut tempatan bagi mengisi keperluan industri perkapalan dan maritim negara memandangkan Malaysia tidak mempunyai ramai pelaut bagi mengisi kekosongan peluang pekerjaan tempatan.

Menurut Pengarah Program, Encik Mohamad Fikry Effendy, tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memberikan pendedahan mendalam kepada para mahasiswa dan graduan mengenai peluang, cabaran dan prospek kerjaya sebagai pelaut.

Jurulatih Marin dan Pengurus Seaferer Management Center, Encik Mohd Shuhairi Abdullah berucap di Dewan Kuliah 7, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis

Melalui perkongsian daripada Pakar Industri Maritim, Encik Mohd Shuhairi Abdullah, para peserta diharapkan agar dapat memahami dengan lebih jelas tentang laluan kerjaya, kemahiran yang diperlukan, serta realiti sebenar dunia maritim.

Beliau yang juga Jurulatih Marin dan Pengurus Seaferer Management Center,  berkata pelaut merupakan individu yang bekerja di atas kapal untuk menyempurnakan pelbagai tugasan meliputi aktiviti perdagangan, eksplorasi dan pengangkutan barang.

Beliau menjelaskan bahawa kerjaya ini boleh menawarkan pelbagai jawatan menarik seperti Pegawai Dek, Jurutera Enjin, Kru Dek, Kru Enjin dan Kru Katering, malah individu yang ingin menceburi bidang ini perlu teliti dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Antaranya perlu mempunyai latar belakang pendidikan dengan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara atau merupakan graduan daripada program pengajian dalam bidang Maritim serta mempunyai kemahiran berbahasa Inggeris,” tambah beliau.

Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa bakal pelaut juga perlu mempunyai kesihatan fizikal yang baik dengan melepasi syarat lulus ujian kecergasan dan rabun warna selain mempunyai kursus latihan seperti Sijil International Convention on Standards of Training, Certification and Watchkeeping for Seafarers (STCW).

Seorang mahasiswa kelihatan teruja semasa bertanyakan peluang wanita bekerja di sektor maritim semasa sesi soal jawab di Dewan Kuliah 7, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Pada masa yang sama, beliau amat mengalukan-alukan penyertaan graduan baharu dengan Ijazah atau Diploma dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, Elektronik atau Mekatronik atau bidang berkaitan untuk mendaftaran diri dalam Program Bridging Electro-Technical Officer (BETO).

Dalam ucapannya, beliau juga ada memaklumkan bahawa Program BETO membangunkan perkembangan kerjaya pelaut tempatan dan pegawai yang dilahirkan dalam program ini akan menguruskan semua sistem elektrik dan memastikan system ini berjalan dengan lancar.

“Kelebihan kerjaya sebagai pelaut menjanjikan pendapatan yang lumayan dan peluang untuk bekerja pada peringkat global, selain memberikan pengalaman berguna dan kemahiran teknikal yang amat berharga pada masa hadapan.” ujar beliau mengakhiri ucapan.

Penasihat Persatuan I MARTECH YBrs. Ts. Gs. Khairul Naim Abd. Aziz semasa berucap di Dewan Kuliah 7, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis, semalam.

Sementara itu, Penasihat Persatuan I MARTECH, YBrs. Ts. Gs. Khairul Naim Abd. Aziz berharap agar perkongsian oleh penceramah yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun belayar di atas kapal dapat membuka minda dan menerbitkan minat terhadap bidang Maritim yang semakin penting pada era ini.

“Besar harapan saya untuk melihat graduan menceburi kerjaya ini dalam melestarikan sektor perkapalan, perlabuhan dan perdagangan maritim dalam usaha membangunkan ekonomi tempatan dan global,” tambah beliau.

Para peserta dan penceramah bergambar di Dewan Kuliah 7, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir mengikuti perkongsian ini ialah Penasihat Persatuan II MARTECH, YBrs. Puan Rohayu Ramli; Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Ts. Gs. Dr. Jamil Tajam; Penyelaras UiTM Green Center, YBrs. Ts. Puan Zamzila Erdawati Zainol dan mahasiswa Fakulti Sains Gunaan serta para pegawai dari Seaferer Management Center.

Kredit Foto: MARTECH
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi