Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 20 April 2025, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia bermula hari ini hingga Selasa bagi meneroka peluang kerjasama baharu.

Lawatan selama tiga hari ke negara jiran itu mencerminkan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua negara susulan Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia ke Malaysia pada bulan Januari 2025 lalu.

Menurut Kementerian Luar Negeri dalam suatu kenyaatannya hari ini, beliau dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Gibran Rakabuming Raka semasa lawatan tersebut.

“Bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala, Timbalan Perdana Menteri dijangka membincangkan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan yang memberikan tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar serta pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa beliau akan menyaksikan pertukaran tiga buah Surat Niat yang terdiri daripada dua kerjasama berkaitan dengan TVET dan satu kerjasama berfokuskan pendidikan tinggi.

Pertukaran tersebut melibatkan antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta), UniKL dengan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat, dan sebuah perjanjian persefahaman (MoU) antara Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) dengan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat.

Di samping itu, ujar kenyataan tersebut, beliau juga akan melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) dan Pusat Operasi Kecemasan di Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre).

Jelas pihaknya lagi, beliau akan menyertai Sesi Meja Bulat Halal, selain mengadakan perbincangan bersama-sama dengan wakil utama industri francais Indonesia, termasuk Persatuan Francais Indonesia (AFI) serta Waraba and Licence Franchise Indonesia (WALI).

Pada masa yang sama, beliau dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama-sama dengan diaspora Malaysia di Indonesia, serta merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan yang sedia erat dan akrab antara Malaysia dengan Republik Indonesia.

Bahkan, lawatan ini menyediakan sebuah platform untuk mempertingkat kerjasama dua hala, di samping menangani cabaran serantau serta memperkukuh kolaborasi masa hadapan yang berkepentingan bersama.

Berdasarkan rekod, Republik Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia pada peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN pada tahun lalu.

Jumlah dagangan dua hala bagi kedua-dua negara telah mencatatkan rekod sebanyak RM116.29 bilion (USD25.5 bilion) pada tahun 2024, iaitu meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding dengan RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada tahun sebelumnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi