Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 16 April 2025, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi selamat disemadikan kira-kira pukul 2.30 petang di Makam Pahlawan, Masjid Negara semalam.

Upacara pemakaman tersebut dilaksanakan selepas solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Barisan pemimpin tertinggi negara yang hadir dalam “Istiadat Pengebumian Negara” di Masjid Negara semalam.

Allahyarham dikebumikan berdekatan dengan makam negarawan yang tersohor, iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Ghafar Baba.

Sejak pagi semalam, ribuan orang yang hadir di perkarangan Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk pemimpin utama negara mahupun luar negara.

Ribuan orang yang memenuhi perkarangan Dewan Solat Utama, Masjid Negara untuk memberikan penghormatan terakhir.

Antara pemimpin berkenaan yang hadir termasuklah mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Mahathir Mohamad, YABhg. Dato’ Seri Najib Haji Abdul Razak, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob serta mantan Perdana Menteri Singapura, TYT Lee Hsien Loong.

Sementara itu, keluarga Allahyarham turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan atas penghormatan “Istiadat Pengebumian Negara” yang diberikan.

Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada Allahyarham menyatakan perkara itu menerusi komentar balas pada sebuah hantaran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Instagram rasmi beliau.

“Penghargaan kepada Dato’ Seri (Anwar Ibrahim) dan kerajaan kerana memberikan penghormatan kepada Pak Lah (Allahyarham Tun Abdullah) dengan mengizinkan satu istiadat pengebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan bersama-sama dengan negarawan yang lain,” katanya.

Allahyarham Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun sekitar pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa sederhana yang menekankan nilai integriti dan Islam Hadhari sepanjang tempoh pentadbirannya dari tahun 2003 hingga tahun 2009.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi