Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan akan memberikan penghormatan “Istiadat Pengebumian Negara” kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi di Masjid Negara sebagai menghormati jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara.
Perdana Menteri kelima menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam.
Menurut Jabatan Perdana Menteri dalam suatu kenyataannya semalam, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pukul 8.00 pagi hari ini bagi pengurusan jenazah.
Penghormatan terakhir akan diadakan di Dewan Solat Utama, Masjid Negara bermula pada pukul 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat zuhur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Selain itu, kerajaan turut menetapkan bahawa pakaian pelawat lelaki Islam ialah baju kebangsaan berwarna hitam, bersamping hitam tanpa corak dan bersongkok, manakala pakaian bagi wanita Islam pula ialah baju kurung atau kebaya labuh berwarna gelap bersama-sama dengan selendang atau tudung putih.
Sementara itu, bagi pelawat yang bukan Islam, lelaki digalakkan memakai sut urusan (lounge suit) berwarna gelap manakala wanita pula berpakaian sopan berwarna gelap dan berselendang putih.
Oleh itu, sebagai tanda penghormatan rasmi, semua bangunan dalam radius dua kilometer dari Masjid Negara dikehendaki mengibarkan Jalur Gemilang separuh tiang sehingga istiadat pengebumian selesai.