Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama (TYT) Xi Jinping bakal mengadakan lawatan rasmi beliau ke negara Malaysia bermula esok hingga Khamis ini.
Menurut Kementerian Luar Negeri dalam suatu kenyataannya, lawatan berkenaan adalah atas undangan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh TYT Xi Jinping pada tahun ini.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan bahawa TYT Xi Jinping akan disambut dengan istiadat sambutan dalam lawatannya pada kali ini dan disusuli dengan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Selain itu, pihaknya berkata, Sultan Ibrahim juga berkenan meraikan beliau dan delegasinya dalam sebuah majlis santapan negara serta akan diiringi oleh menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
“TYT Xi Jinping turut dijadualkan mengadakan pertemuan bersama-sama dengan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” ujarnya dalam kenyataan tersebut pada hari ini.
Kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman, perjanjian, dan nota antara Malaysia dengan Republik Rakyat China.
Di samping itu, Perdana Menteri akan turut mengacarai satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan beliau.
“Sebagai Pengerusi ASEAN dan negara penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN–China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dengan Republik Rakyat China melalui dialog, kesalingpercayaan dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan Republik Rakyat China,” katanya.
Pihaknya turut mengulas lanjut bahawa kedua-dua negara telah menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif ketika lawatan terakhir negara terbesar Asia tersebut ke Malaysia pada tahun 2013.
Berdasarkan rekod, Republik Rakyat China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama enam belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009.
“Jumlah dagangan antara Malaysia dengan Republik Rakyat China bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion),” ujarnya.
Sementara itu, hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Rakyat China telah terjalin sejak 31 Mei 1974 dengan kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun lalu.