Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Masalah kesihatan oral seperti gigi sensitif bukan sekadar menjejaskan senyuman, malah turut memberikan impak ketara terhadap kehidupan seharian, termasuk gangguan emosi, ketidakselesaan apabila makan serta rasa malu untuk mendapatkan rawatan.
Pakar periodontik merangkap wakil Persatuan Pergigian Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Salman Masri berkata masalah ini bukan sahaja berpunca daripada penjagaan kesihatan oral yang tidak sempurna, malah turut disebabkan oleh teknik memberus gigi yang tidak sesuai.
“Ramai pesakit yang mengalami masalah gigi sensitif selepas prosedur pembersihan gigi. Kesakitan yang dialami bersifat mencucuk dan sukar ditahan. Kesakitan sebegini boleh menjejaskan cara seseorang menggigit makanan serta menimbulkan ketidakselesaan ketika berdepan perubahan suhu makanan,” ujar beliau ketika berucap pada program pelancaran semula ubat gigi berperisa pudina jenama Sensodyne.
Beliau turut memetik satu kajian yang mendapati sembilan daripada 10 individu yang mengalami kesakitan mencucuk akibat gigi sensitif melaporkan gangguan terhadap kualiti hidup, manakala satu daripada 10 mengalami gangguan emosi.
“Ramai juga yang tidak tahu bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan walaupun tiada pereputan gigi atau jangkitan. Akibatnya, rasa malu untuk berjumpa doktor gigi semakin memburukkan keadaan,” jelas beliau.
Dr. Salman menyarankan agar pemeriksaan gigi dilakukan secara berkala, sekurang-kurangnya setahun sekali, supaya doktor boleh memantau keadaan kesihatan oral dan mengesyorkan teknik memberus gigi yang betul mengikut masalah pesakit.
“Jenis berus gigi dan ubat gigi yang digunakan perlu disesuaikan. Dalam beberapa kes, doktor akan menyarankan penggunaan ubat gigi tertentu selepas prosedur penskaleran,” tambah beliau.
Dalam program yang sama, pelakon dan penyanyi Joey Leong turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan gigi sensitif yang menyukarkannya menikmati hidangan sup panas kegemaran yang dimasak oleh ibunya.
“Pada mulanya saya sangka kesakitan itu hanya ngilu biasa, namun lama-kelamaan semakin teruk. Akhirnya saya pergi ke klinik dan disarankan agar menggunakan ubat gigi Sensodyne oleh doktor,” ujar beliau.
Program tersebut turut menampilkan ahli panel jemputan termasuk pelakon Syarifah Rose dan pempengaruh media sosial, Hazeman Huzir yang berkongsi pandangan mereka mengenai kepentingan menjaga kesihatan oral.