Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bahawa Rumah Terbuka Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan di Bandar Baru Bangi, esok dibatalkan.
Keputusan ini diambil kira bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights dan perkara ini telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor serta persetujuan YAB Perdana Menteri, saya dengan ini mengumumkan bahawa Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor esok dibatalkan,”ujarnya.
Namun begitu, beliau menjelaskan segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada Pusat Pemindahan Sementera (PPS), rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama serta petugas keselamatan.
“Mewakili seluruh warga kerajaan negeri, saya memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan rumah terbuka ini demi menghormati mangsa dan keluarga yang terlibat dengan insiden di Putra Heights,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan sekalung penghargaan buat seluruh pasukan petugas dan pelaksana majlis yang bertungkus lumus memastikan majlis berjalan sebagaimana matlamat, namun beliau sangat menghargai persefahaman bersama demi maslahah yang lebih utama.
“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak jua,” jelas beliau lagi.