Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 5 April 2025, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Luar Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) akan melaksanakan misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw, Myanmar pada hari ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra semalam, misi tersebut sebagai manifestasi solidariti serantau dan sokongan kepada rakyat Myanmar yang terjejas akibat bencana gempa bumi berlaku pada 28 Mac.

Selain itu, Wisma Putra memaklumkan bahawa lawatan beliau disertai oleh rakan sejawatnya dari Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT) Maris Sangiampongsa, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama rapat ASEAN dalam tindak balas kemanusiaan.

“Semasa berada di Nay Pyi Taw, kedua-dua Menteri Luar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Menteri Luar Negeri, U Than Shwe,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Ujar pihaknya, Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand akan menerima taklimat daripada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (AHA Centre) mengenai operasi bantuan dan kemanusiaan yang sedang dilaksanakan.

Sepanjang lawatan beliau, YB Menteri Luar Negeri dijangka menyampaikan sokongan tidak berbelah bahagi ASEAN kepada Myanmar dalam usaha pemulihan pascagempa bumi.

Beliau juga akan menyuarakan keperluan untuk meneruskan dan memperluas akses penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat dan berterusan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas.

“YB Menteri Luar Negeri turut akan mengetengahkan usaha tindak balas bencana yang dikoordinasikan ASEAN serta sumbangan Malaysia setakat ini, termasuk penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penghantaran bantuan kemanusiaan,” jelas pihaknya.

Sementara itu, kumpulan kedua bantuan kemanusiaan Malaysia seberat 15 tan yang diselaraskan oleh AHA Centre dan dihantar dengan menggunakan pesawat A400 Tentera Udara Diraja Malaysia akan tiba di Nay Pyi Taw, bersempena dengan lawatan ini sebagai usaha kolektif bantuan ASEAN.

Terdahulu, lawatan tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Kecemasan Menteri-menteri Luar ASEAN berhubung dengan gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang dipengerusikan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 30 Mac menerusi persidangan video.

Lawatan ini menzahirkan komitmen dan kepimpinan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Lawatan ini mencerminkan kesinambungan pendekatan ASEAN yang bersatu dan berteraskan rakyat dalam menangani krisis kemanusiaan serantau.

“Malaysia kekal komited bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN, AHA Centre dan rakan kemanusiaan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di Myanmar, terutama di wilayah Sagaing dan Mandalay yang paling teruk terjejas,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi