Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 4 April 2025, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dan Pasukan Pilihan Veteran Perlis dinobatkan sebagai Johan Bersama dalam perlawanan Bola Raya 2025 yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada petang semalam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah pada akhir perlawanan.

Turut berangkat, anakanda-anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Putera baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail turut beraksi mewakili pasukan PPKL.

Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) dan Pasukan Pilihan Veteran Perlis dinobatkan sebagai Johan Bersama dalam perlawanan Bola Raya 2025 yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Hadir sama ialah Menteri Besar, YAB Mohd Shukri Ramli: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YBrs. Encik Mohd Ridzuan Hashim dan Yang DiPertua Persatuan Perlis Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Md Silmi Abd Rahman.

Perlawanan Bola Raya anjuran PPKL merupakan acara tahunan bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis di perantauan, khususnya yang bermastautin di Lembah Klang.

Pertandingan sempena Syawal ini merupakan cetusan idea dan inisiatif Tuanku Raja Muda ketika baginda menjadi Ahli Jawatankuasa PPKL dengan memegang potfolio Belia dan Sukan pada tahun 1992 dan diteruskan hingga ke hari ini.

Raja Muda Perlis bertemu dengan para pemain sebelum perlawanan bermula.

Dalam perlawanan edisi tahun ini yang turut diadakan khas bagi meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Negeri Perlis, PPKL terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan jarak dekat oleh Mohd Fauzi Nan. Namun begitu, Pilihan Veteran Perlis tidak berputus asa dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Azizi Mat Rose.

Perlawanan Bola Raya anjuran PPKL merupakan acara tahunan bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan menyemai semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Perlis.

Acara ini bukan sahaja menjadi medan mengimbau kenangan bagi para pemain veteran, malah turut menjadi simbol semangat perpaduan dan kecintaan terhadap bola sepak dalam kalangan anak-anak Perlis dan ada antara mereka pernah menyarung jersi kebangaan pasukan kuning-biru Singa Utara Perlis.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi