Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 28 Mac 2025, 19:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Keharmonian beragama merupakan satu daripada asas penting dalam kehidupan bermasyarakat dalam dunia yang semakin maju dan penuh cabaran.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selepas berkenan menyempurnakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Musafirin, Pekan Siam Padang Besar, Songkhla, Thailand, baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa agama Islam mengajar kita untuk hidup dalam kedamaian dan keharmonian dengan sesama umat manusia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun negara, di samping menyemai kasih sayang dan saling menghormati yang merupakan kunci kepada keharmonian hidup.

Kita semua harus terus berusaha membina keharmonian dan keamanan dalam masyarakat.

Semoga Allah SWT memelihara kita semua dan memberikan kekuatan dalam setiap langkah perjuangan kita demi kemajuan ummah di rantau ini.

Pada masa yang sama, baginda turut menyempurnakan sumbangan MAIPs bersempena dengan program MAIPS Peduli di sekitar Padang Besar Utara di sebelah Perlis.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkesempatan meluangkan masa singgah melawat dan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Padang Besar, Thailand.

Sementara itu, dari aspek pelancongan, Masjid Musafirin yang dikenali sebagai Musafirin Alpattanah Mosque terletak berhampiran dengan Stesen Kereta Api Padang Besar, Thailand, bukan sahaja tempat ibadat bagi masyarakat muslim utama, malah menjadi persinggahan para pelancong yang melintasi sempadan Malaysia – Thailand.

Keberangkatan baginda dalam majlis ini turut disambut oleh Imam Masjid Musafirin, YBrs. Tuan Haji Ahmad Ibrahim serta barisan pengurusan masjid.

Selain itu, Tuanku Syed Putra turut diiringi dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkesempatan meluangkan masa singgah melawat dan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Padang Besar, Thailand.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi