Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Negara mencatatkan sejarah penting buat negara apabila sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 pada Selasa lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, RUU tersebut amat penting kerana kelulusannya akan membantu meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 negara yang memiliki ekonomi paling berdaya saing dalam Penarafan Daya Saing Dunia dan kedudukan negara 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah menjelang tahun 2033.

“RUU Iltizam ini pastinya dapat menjimatkan operasi kerajaan dan sektor swasta melalui penurunan birokrasi dan dokumentasi yang berulang, meningkatkan ketelusan akauntabiliti dan pemantauan melalui laporan berkala kepada Parlimen, serta mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan RUU tersebut dalam sidang Dewan Negara.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa penggubalan RUU ini turut memberikan manfaat secara tidak langsung dalam usaha meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara melalui kelancaran proses perniagaan, meningkatkan pelaburan dan daya saing.

RUU Iltizam ini digubal berasaskan amalan terbaik global. Pengurangan beban kawal selia sebanyak 25 peratus terbukti mampu memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi.

Di Malaysia, pelaksanaan reformasi di bawah RUU ini dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM60 juta dan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan kerajaan digital yang lebih responsif dan berorientasikan penyelesaian.

Tambah beliau lagi, RUU tersebut juga memperuntukkan tanggungjawab kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk merancang, melaksanakan dan memantau dasar yang berkaitan dengan iltizam kerajaan.

Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa peruntukan ini tidak memberikan kuasa sepenuhnya kepada KSN kerana masih terdapat mekanisme kawalan yang memastikan keseimbangan KSN untuk melaksanakan tugasnya.

Tegas beliau, laporan berkaitan dengan iltizam kerajaan yang disediakan akan dibentangkan secara berkala oleh Menteri dalam Dewan Rakyat bagi memastikan pelaksanaan dasarnya sentiasa berada pada landasan yang betul sejajar dengan kepentingan negara.

Pendekatan musyawarah dan konsultasi boleh dilaksanakan dengan melibatkan pihak pemegang taruh berkelayakan serta pemantauan pada peringkat eksekutif yang memastikan keseimbangan dalam pelaksanaan tanggungjawab KSN di bawah RUU ini.

“Dengan pelaksanaan RUU ini, penjawat awam dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih efisien kerana proses kerja tidak perlu dikurangkan atau dihapuskan,” katanya.

Penggunaan teknologi termasuk dalam urusan pelaporan akan mempercepat penyampaian perkhidmatan dan tugas berulang atau bertindan akan juga dapat diminimumkan.

Beliau turut memaklumkan bahawa RUU ini menetapkan instrumen kawal selia perlu menjalani proses penyemakan tiga tahun sekali, sasaran pengurangan beban sebanyak 25 peratus, pendekatan One-In, One-Out, iaitu pembatalan instrumen kawal selia lama bagi setiap kali instrumen kawal selia baharu diperkenalkan dan penggunaan Model Kos Standard untuk mengira dan menentukan kos instrumen kawal selia sama ada perlu dikekalkan, diubah suai atau dimansuhkan.

“RUU ini memperuntukkan mekanisme pengecualian bagi memastikan pelaksanaan reformasi kawal selia tidak mengganggu operasi kritikal kerajaan terutama sektor keselamatan, kepentingan negara dan situasi luar jangka,” jelasnya.

Menteri boleh membatalkan pengecualian tersebut sekiranya terdapat keperluan untuk menyelaraskan semula sesuatu peraturan dengan objektif reformasi iltizam.

Ujar beliau, sistem penarafan kawal selia akan digunakan sebagai mekanisme pemantauan yang lebih granul dengan agensi kerajaan yang berjaya mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan akan diberikan insentif dan pengiktirafan.

Saya berharap semua YB Senator menyokong RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan ini dan bersama-sama mencipta sejarah dalam pembaharuan tadbir urus kerajaan untuk rakyat.

Penggubalan RUU ini merupakan reformasi terbesar perkhidmatan awam sejak kemerdekaan negara.

“Langkah ini juga selari dengan agenda kerajaan yang menjunjung tatakelola baik untuk menarik pelaburan dan menyediakan ekosistem ekonomi Malaysia yang lebih sihat,” ujarnya.

Kredit Foto: Ihsan Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi