Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 5,000 orang anak kelahiran Pahang berada di perantauan menerima baucar petrol dan diesel bernilai RM50 daripada kerajaan negeri Pahang dalam program Moh Balik Raya ke Pahang 2025 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa pada Ahad lalu.

Menurut Menteri Besar Pahang, Yang amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, pemberian bacar tersebut bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mereka pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapannya.

“Program ini bukan sekadar pemberian bantuan kewangan dalam bentuk baucar petrol dan diesel, tetapi juga melambangkan keprihatinan serta kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan anak negeri Pahang terus terbela,” katanya ketika berucap dalam program tersebut.

Kami mahu setiap perantau merasakan bahawa mereka tetap dekat di hati kerajaan negeri, walaupun berada jauh dari tanah kelahiran mereka.

Kerajaan negeri Pahang akan terus menyokong inisiatif-inisiatif sebegini agar anak-anak Pahang di perantauan tidak berasa terpinggir.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri memahami cabaran kewangan yang dihadapi oleh perantau, terutamanya dalam musim perayaan.

“Kami komited untuk meneruskan dan menambah baik program ini pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Selain itu, Ketua Unit Sekretariat Perantau Anak Pahang, YBrs. Tuan Syed Anas Syed Ali  menegaskan bahawa sambutan luar biasa terhadap program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyatnya yang berada di perantauan.

Kami amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan majlis ini buat tahun kedua berturut-turut.

Sambutan yang begitu menggalakkan membuktikan betapa pentingnya inisiatif ini kepada anak negeri Pahang yang berada di perantauan.

EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal pula mengulas bahawa program ini bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan perantau, malah memperkukuh hubungan antara kerajaan negeri dengan rakyatnya.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy (tengah berbaju putih) bersama-sama dengan anak perantau negeri Pahang yang hadir dalam Moh Balik Raya ke Pahang 2025 .

Pada masa yang sama, majlis berkenaan berlangsung meriah dengan acara penyampaian baucar petrol dan kuih raya kepada penerima serta sesi ramah mesra antara pemimpin masyarakat dengan 1,000 orang anak perantauan Pahang yang hadir.

Majlis tersebut merupakan anjuran Sekretariat Perantau Anak Pahang, kini telah memasuki tahun kedua penganjurannya pada tahun ini di bawah inisiatif kerajaan negeri Pahang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Abd. Razak; Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Cameron Highland, YB Dato’ Dr. Ramli Mohd Nor.

Kredit Foto: Ahmad Farihan Abdul Manan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi