Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sandakan – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diiktiraf sebagai pendidikan arus perdana sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor ini sebagai pemacu pembangunan negara.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa ditemu bual oleh wartawan selepas merasmikan pelancaran Kolej Vokasional Sandakan 2 pada petang semalam.

Menurut beliau, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pendidikan arus perdana dan bukan lagi pilihan kedua. Oleh itu, bidang pendidikan itu diberikan tumpuan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membina kepakaran dan kekuatan pekerja agar relevan dengan kehendak industri. Beliau berkata demikian semasa merasmikan pelancaran Kolej Vokasional Sandakan 2, pada petang semalam.

Menyahut saranan Menteri Pendidikan, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, YBrs. Encik Ts. Zukernei Fauzi berkata bahawa TVET bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua bagi pelajar, tetapi sebagai laluan utama yang menjanjikan peluang kerjaya yang luas serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, KPM, YBrs. Encik Ts. Zukernei Fauzi.

Dalam usaha memastikan hala tuju pendidikan TVET lebih berkesan, Majlis TVET Negara telah dibentuk dengan penyelarasan daripada 12 kementerian. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkemas dasar TVET negara agar lebih sistematik dan efektif, sekali gus memastikan keperluan tenaga kerja dalam industri dapat dipenuhi tanpa bergantung pada tenaga luar.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, KPM telah melancarkan Kolej Vokasional Sandakan 2 (KVS2), sebuah institusi TVET baharu yang menawarkan program dalam bidang hospitaliti. 

Antara program lain yang ditawarkan di KVS2 termasuklah Pengurusan Pelancongan, Bakeri dan Pastri, Seni Kulinari serta Kosmetologi. Program ini merangkumi dua tahun pengajian pada peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), serta program diploma selama dua tahun.

Pengarah KVS2, YBrs. Puan Christine Stanislaus Kinsik berharap agar pelajar institusi ini mampu menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga mampu membawa keluarga mereka keluar daripada garis kemiskinan. 

Pengarah Kolej Vokasional Sandakan 2 (KVS2), YBrs. Puan Christine Stanislaus Kinsik.

“Statistik menunjukkan bahawa 80 peratus atau 200 daripada 251 orang pelajar di KVS2 berasal daripada keluarga dalam kategori B40. Dengan pendidikan dan latihan yang disediakan, diharap agar para graduan dapat meningkatkan taraf hidup mereka serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara,” ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian KVS2 oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek petang semalam.

Walaupun baru setahun beroperasi, KVS2 telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak industri. Antaranya termasuklah dengan sektor pelancongan dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo, Sepilok. Selain itu, menerusi program Bakeri dan Pastri di kolej ini, pelajar berjaya menghasilkan biskut mentega bertemakan beruang matahari bersempena dengan Hari Beruang Matahari Sedunia tahun lalu. KVS2 juga telah menerima Surat Niat (LOI) daripada Pusat Urut Thai Odyssey sebagai langkah awal ke arah kolaborasi strategik dalam bidang hospitaliti.

Dalam majlis yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut menyumbang wakaf buku DBP kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, KVS2, dan Jabatan Perhutanan Sabah yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP (YBrs. Dr. Hazami Jahari). Selain tiga agensi tersebut, St. John Ambulance Malaysia, Kawasan Sandakan akan turut menerima wakaf buku tersebut. 

Majlis ini turut dihadiri oleh ADUN Sungai Manila, YB Datuk Mokran Ingkat; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal Abas; Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional KPM, YBrs. Ts. Zulkernai Fauzi dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi