Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Dewan Negara semalam telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dengan sokongan melebihi dua per tiga ahli Dewan Negara, iaitu 46 undian selepas sesi perbahasan penggulungan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Kelulusan pindaan RUU berkenaan bagi membolehkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentang, dibahas dan seterusnya memberikan fungsi apabila diluluskan oleh Dewan Negara kelak.

YB Dato’ Sri Azalina Othman Said turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua ahli Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyokong usul pindaan RUU tersebut.

Menurut beliau, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sepatutnya disokong oleh semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira latar belakang parti politik kerana pindaan tersebut untuk memberikan semula kuasa kepada parlimen.

Parlimen mendapat autonomi kewangan, maknanya pindaan perlembagaan ini adalah untuk memberikan semula kuasa kepada parlimen yang telah diperuntukkan pada tahun 1963, apabila Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman membawa Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan kemudian ditamatkan pada tahun 1992.

Tambah beliau lagi, pindaan ini bertujuan untuk memberikan kebebasan kepada parlimen sebagai insitusi legislatif negara dan penentu kepada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pertambahan kerusi anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen masih boleh dibincangkan bersama-sama dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk diangkat kepada pihak eksekutif menerusi RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Saya hanya membawa lima fasal (dalam pindaan ini), iaitu memberikan kebenaran dan kuasa supaya YB Senator melalui Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara boleh duduk dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa pindaan ini ialah pindaan bersifat teknikal dan sekiranya kerajaan tidak membuat pindaan pada peringkat parlimen, enam orang berjawatan tersebut tidak mempunyai kuasa dan melanggar perlembagaan.

Ujar beliau, pindaan ini adalah untuk mengesahkan dan memberikan kebenaran bahawa enam jawatan tersebut menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen kerana peruntukan sedia ada dalam perlembagaan menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai hak untuk menyertai sesuatu majlis atau badan kecuali kedudukan mereka telah diberikan kebenaran, iaitu menerusi pindaan perlembagaan.

Sementara itu, pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 melibatkan pindaan pada tiga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Perkara 56 berkaitan dengan kedudukan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Perkara 57 tentang kedudukan Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Perkara 65 mengenai kedudukan Setiausaha Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kredit Foto: Ihsan Parlimen Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi