Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) atau dikenali sebagai Terminal Bersepadu Timur (TBT) ke Pantai Timur telah mula beroperasi secara rasminya pada 15 Mac 2025.

TBG ini bukan sahaja menjadi hab pengangkutan utama ke Pantai Timur, malah turut menjadi daya tarikan masyarakat di sekitar Gombak selain menawarkan kira-kira 3000 peluang pekerjaan, tempat untuk bersiar-siar, membeli-belah dan menjamu selera.

Tinjauan mendapati selain penumpang juga kelihatan banyak pengunjung pada hujung minggu dan hari cuti, memberikan mereka peluang mengunjungi terminal baharu yang berkonsepkan pusat membeli-belah itu.

Para peniaga barangan, perkhidmatan dan makanan juga kelihatan bersemangat memulakan hari pertama perniagaan di lot masing-masing. Hingga kini, sebanyak 103 buah lot kedai telah disewa. TBG yang mempunyai tujuh tingkat dan beroperasi secara berperingkat dengan pelaksanaan perkhidmatan menurunkan penumpang bas dari Pantai Timur Semenanjung sahaja. Tiga tingkat dikhususkan untuk perkhidmatan bas.

Menurut Pengasas Syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn. Bhd. (TEGAS) Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Seri Mohd. Nadzlim Mohd. Noor, TBG akan melaksanakan perkhidmatan mengambil penumpang ke destinasi masing-masing di Pantai Timur, Utara dan Tengah Semenanjung bermula pada 22 Mac 2025.

Pengguna lebih mudah menggunakan LRT untuk ke Terminal Bersepadu Gombak.

Datuk Seri Mohd. Nadzlim turut memberitahu bahawa sebanyak 63 buah kedai akan dibuka dan dijangkakan sebaik selepas sambutan Aidilfitri, semua pusat membeli-belah yang terdiri daripada empat tingkat akan mula beroperasi.

TBG yang terletak bersebelahan dengan stesen LRT Gombak di Jalan Lingkaran Tengah 2 bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bas, bahkan menghubungkan transit aliran ringan (LRT) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer, kemudahan perjalanan bagi penumpang ke ibu kota dari Pantai Timur meliputi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Yang Berhormat (YB) Anthony Loke, memberitahu bahawa penggunaan TBG akan mengurangkan kesesakan di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan atau TBS.

Beliau turut memberitahu bahawa terdapat satu lagi ciri penting di TBG, iaitu penumpang perlu menyatakan jika mereka ialah orang kurang upaya (OKU). Pengakuan itu akan memudahkan urusan mereka kerana setelah dikesan dalam sistem, hal tersebut akan dimaklumkan kepada pemandu untuk meletakkan bas di tempat mesra OKU.

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi