Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor Madani dan Insentif Khas Rekod Hasil Negeri sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam di Selangor.

Pengumuman tersebut diadakan pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor bersama-sama Penjawat Awam Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz semalam.

Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk memberikan Insentif Aidilfitri Kita Selangor berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1000 yang akan disalurkan bermula 25 Mac 2025, manakala Insentif Rekod Hasil Negeri berjumlah setengah bulan gaji atau minimum sebanyak RM1000 dan akan disalurkan bermula 15 April 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga memberitahu, untuk kumpulan kedua penerima yang terdiri daripada Pemimpin Masyarakat (MPKK), Pegawai Perhubungan Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita serta Penggerak Belia Selangor (PeBS) akan menerima Insentif Rekod Hasil Negeri sebanyak setengah bulan elaun atau minimum sejumlah RM500.

Untuk makluman, sehingga Mac 2025 Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM605.51 juta. Amaun ini berjumlah RM32 juta, iaitu lebih tinggi bagi tempoh yang sama tahun 2024. Amaun yang telah dikutip ini juga sudah mencapai lebih satu perempat daripada sasaran tahunan, iaitu sebanyak 25.77 peratus. Sehingga 28 Februari tahun ini, Kedudukan Rizab Kewangan Negeri telah meningkat kepada RM4.542 billion, iaitu penambahan sebanyak RM643.51 juta.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Fadzli Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Dato’ Salim Soib, Penasihat Undang-undang Negeri, YB Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri, YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;Barisan Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri dan Persekutuan.

 

 

Kredit Foto: Amirudin Shari
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi