Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 16 Mac 2025, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Utara Malaysia (UUM)  dengan kerjasama Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD) Bandung mengadakan program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD: Student Mobility Program pada 18 Februari hingga 22 Februari 2025 lalu di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Program Nusantara Exchange ini memperkukuh hubungan akademik  budaya dan diplomatik antara pelajar Malaysia dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UIN SGD) Bandung.

Dalam program tersebut,Wakil Rektor 4 Bidang Kerjasama dan Kelembagaan UIN SGD Bandung, Profesor Dr. H. Ahmad Fathonih, M. Ag. mengucapkan penghargaan kepada pihak UUM kerana menjayakan inisiatif ini.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman dalam ekosistem pendidikan tinggi kedua-dua negara,” ujar beliau dalam Majlis Perasmian Program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD.

Sementara itu, Pengetua Inapan Siswa Tenaga Nasional Berhad UUM, Profesor Madya Dr Rohani Abdullah pula berkata program sebegini berperanan dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan kepimpinan global.

Antara aktiviti utama program ini termasuklah lawatan ke Panti Asuhan Ar-Rifqi apabila pelajar UUM berpeluang mengadakan sesi pembelajaran interaktif seperti pengajaran asas bahasa Melayu dan permainan tradisional Malaysia.

“Selain itu, lawatan ke Orchid Forest Cikole dan Floating Market Lembang pula memberikan pendedahan kepada peserta mengenai keindahan alam semula jadi serta budaya unik Indonesia,” terangnya lagi.

Pelajar UUM ketika mengadakan lawatan ke Orchid Forest Cikole dan Floating Market Lembang.

Pada masa yang sama, turut diadakan satu sesi perkongsian bersama-sama alumni UUM, iaitu Ahmad Talib yang kini bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Bekas pelajar UUM itu berkongsi pengalaman kerjayanya dalam bidang diplomasi dan menekankan kepentingan profesionalisme serta daya tahan dalam dunia pekerjaan.

Alumni UUM, Ahmad Talib yang kini bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta turut terlibat dalam Program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD.

Di samping itu, Pengarah Program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD, Nur Athirah Najwa berkata, inisiatif ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan Malaysia dengan Indonesia serta memberikan nilai tambah kepada pelajar yang terlibat yang akan pemimpin pada masa hadapan.

“Dengan kejayaan program Nusantara Exchange UUM x UIN SGD ini, diharapkan lebih banyak program kerjasama antarabangsa dapat dianjurkan bagi melahirkan generasi pemimpin yang berdaya saing dan berfikiran global,” jelas Nur Athirah Najwa lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi