Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 21:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Iftar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Surau Pauh Putra, Kampus Alam UniMAP.

Dalam ucapan perasmian majlis itu, Raja Muda Perlis bertitah,

“UniMAP perlu mempunyai hala tuju tersendiri yang jelas melalui inisiatif UniMAP Beyond 2030 agar dapat mencapai matlamatnya secara terancang.”

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Acara simbolik penyerahan bantuan zakat sebanyak RM150,000 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan disaksikan oleh Raja Muda Perlis sendiri selaku Canselor UniMAP bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pro Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menitahkan agar pihak pengurusan UniMAP dan semua warganya memberikan perhatian terhadap kedudukan UniMAP dalam The Times Higher Education (THE) World University Rankings dan The QS World University Rankings serta KPI lain yang menjadi penanda aras kepada kecemerlangan universiti.

Ujar Raja Muda Perlis lagi,

Inisiatif ini memerlukan perbincangan yang menyeluruh daripada semua pihak dan melibatkan pengurusan tertinggi universiti demi memajukan universiti yang tercinta.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada ahli perbengkelan bagi merangka hala tuju dan perancangan UniMAP pada masa hadapan.

Mengambil kira faktor bahawa Baginda sudah bersama-sama dengan UniMAP semenjak era penubuhannya sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia, Baginda yakin bahawa pengalaman pengurusan tersebut boleh dijadikan sebagai rujukan untuk membantu kepimpinan baharu UniMAP.

Kepimpinan baharu haruslah mencetuskan idea yang bernas dan segar selaras dengan perubahan global agar mampu memastikan strategi akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan dan kolaborasi industri dapat dilaksanakan dengan berkesan. Oleh itu, kedudukan UniMAP sebagai sebuah institusi unggul pada peringkat antarabangsa dapat diperkukuhkan bagi mendepani cabaran melebihi 20 tahun.

Dalam majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyampaikan agihan zakat berbentuk wang tunai daripada MAIPs sebanyak RM300 kepada keluarga asnaf yang terpilih.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menyampaikan bantuan zakat kepada keluarga asnaf yang terpilih.
DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil megagihkan bantuan zakat kepada anak asnaf.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg. Tan Sri Datuk Sri Sufri Haji Mohamad Zin; Naib Canselor UniMAP, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta ahli pengurusan tertinggi universiti.

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi