Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKudat – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, “pelbagai usaha perlu terus dilakukan untuk memperkukuh perpaduan yang telah terjalin antara kaum dalam kalangan pelajar kerana sekolah sering dianggap sebagai asas yang paling tepat dan efektif dalam membentuk perpaduan dalam kalangan pelajar.”

Baginda bertitah lagi, “pendidikan adalah faktor utama dalam usaha memperkukuh perpaduan. Nilai kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan perlu diterapkan dalam persekitaran pendidikan dengan melibatkan semua kaum dalam kalangan murid sebagai teras dalam setiap aktiviti sekolah”.
“Usaha mewujudkan perpaduan kaum dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang melibatkan semua pelajar. Hal ini bukan sahaja menguatkan perpaduan antara satu sama lain, malah turut memperkukuh keharmonian sesama rakyat berbilang kaum di negara ini untuk memastikan perpaduan tetap terjalin dalam segala keadaan”.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 peringkat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Lok Yuk di Kudat bersempena dengan Lawatan Kerajaan Negeri Perlis ke Sabah (Eks PerBah) 2025 semalam. Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMJK Lok Yuk, Chong Siaw Han.
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kudat yang melibatkan sebanyak 725 orang pelajar SMJK Lok Yuk yang terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
Bersempena dengan program ini juga, SMJK Lok Yuk telah menerima sumbangan sebanyak RM 500 kepada pelajar paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pendididkan Malaysia (SPM) dari YTSP Perlis, sumbangan dua unit LCD projektor dan dua unit pendingin udara dari Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), kipas berdiri dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), dua kotak pakaian sukan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis serta satu unit papan tanda bertanda LED daripada Datuk Indera Dr. Mohd Zaini Ariff.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian pecah tanah bagi pembinaan dewan makan dan koperasi di sekolah tersebut.
Baginda menzahirkan murid-murid SMJK Lok Yuk agar sentiasa menjaga akhlak diri, maruah ibu bapa dan nama baik sekolah dan berharap sekolah ini akan terus melahirkan masyarakat yang bersatu-padu tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan warna kulit.