Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi TalentCorp memperkenalkan inisiatif Veteran MyWIRA sebagai langkah strategik bagi membantu bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beralih ke tenaga kerja sivil melalui latihan kemahiran semula, program penempatan pekerjaan dan pensijilan industri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif ini dilaksanakan melalui kolaborasi bersama pelbagai pihak bagi memastikan golongan veteran ATM memperoleh peluang pekerjaan yang berkualiti, bermaruah dan berdaya saing.
“Dalam konteks global, negara-negara lain telah melaksanakan program latihan formal bagi memastikan anggota tentera mereka meningkatkan kemahiran serta memenuhi keperluan industri pertahanan. Pengalaman ketenteraan yang dimiliki oleh veteran tentera membantu mereka menyesuaikan diri dengan pekerjaan sivil dan meningkatkan daya saing dalam pasaran kerja,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TalentCorp dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) di Hilton Kuala Lumpur semalam.
Menurut beliau, peralihan daripada perkhidmatan ketenteraan ke sektor swasta bukan satu proses mudah, terutama dalam menyesuaikan kemahiran ketenteraan dengan keperluan industri, “Walaupun veteran ATM mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi, mereka sering menghadapi cabaran dalam mendapatkan pengiktirafan industri.”
Sehubungan itu, melalui kerjasama strategik antara TalentCorp, JHEV, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan sektor industri, Veteran MyWIRA telah berjaya membuka lebih 500 peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji yang mampan bagi veteran pada tahun 2024. Pada tahun ini, program ini akan diperluaskan lagi dengan lebih banyak penempatan kerja kepada golongan veteran serta bakal pesara ATM.
Beberapa syarikat utama seperti Micron Memory Malaysia, Western Digital dan Jabil turut menyokong program ini dengan mengambil serta melatih veteran dalam sektor bernilai tinggi. Menerusi Majlis Bakat Kemahiran Masa Depan (Future Skills Talent Council, FSTC) yang dipacu industri, TalentCorp membantu melengkapkan veteran dengan kemahiran yang berkaitan dengan industri sejajar dengan perkembangan ekonomi dan teknologi negara.
Sejak dilancarkan pada Januari 2024, program ini telah membantu peralihan veteran ATM ke sektor swasta menerusi peningkatan kemahiran dan kerjasama dengan industri. Setakat ini, Veteran MyWIRA telah memudahkan penempatan pekerjaan bagi sejumlah 49 veteran dengan gaji minimum RM2,900 serta membuka kira-kira 500 peluang pekerjaan dalam sektor Elektronik dan Elektrikal (E&E), Logistik dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
Pada majlis tersebut, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan TalentCorp turut menyampaikan Sumbangan Ihya’ MyMAHIR berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Veteran sebagai penghargaan atas peranan penting mereka dalam menyokong peralihan anggota ATM sebelum persaraan.
Turut hadir di dalam majlis ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Tuan Adly Zahari; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, YBhg. Dato’ Hajah Norison Binti Ramli; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan Malaysia, YBhg. Datin Roszanina Wahab; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman dan Ketua Pengarah JHEV, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Haji Marjuki.