Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Majlis Kebudayaan Negara (MKN) Negeri Pahang dengan sokongan beberapa persatuan tempatan yang membentuk ahli gabungan di bawah MKN mengadakan Program Kasih Ramadan 1446H, mengagihkan sebanyak 200 kampit beras 5kg kepada rumah anak yatim terpilih di sekitar bandar ini.
Rumah Anak Yatim Permata Camar, Rumah Asnaf Permata Al-Kauthar Muqarrabin serta Rumah Anak Yatim dan Miskin Baitul Husna merupakan antara penerima manfaat daripada program kebajikan ini.
Inisiatif selama dua hari yang bermula pada 8 Mac lalu dipimpin oleh Setiausaha MKN Pahang, YBrs. Encik Zulkefli Hussin. Program ini juga bertujuan memperkukuh hubungan antara MKN dengan komuniti setempat serta memperkenalkan persatuan kebudayaan kepada masyarakat.

Antara persatuan yang turut serta dalam program ini ialah Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang, Persatuan Silat Negeri Pahang, Kelab Teater Rajuk dan Persatuan Sejarah Pahang. Kehadiran ahli-ahli persatuan ini tidak sekadar memeriahkan program, malah turut mengeratkan silaturahim antara semua pihak.
Menurut YBrs. Encik Zulkefli, program ini bukan sekadar menyalurkan bantuan, tetapi juga menanam nilai kebersamaan dalam masyarakat. “Kami berganding bahu, bekerjasama tanpa menjadikan puasa sebagai penghalang. Inilah semangat Ramadan yang sebenar,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MKN Pahang, YB Dato’ Sri Hajjah Shahaniza Shamsuddin atas sokongan penuh terhadap program ini.
YBrs. Encik Ahmad Sallihin Khalid, wakil persatuan yang terlibat, turut menyatakan harapannya agar lebih banyak pihak menyertai program kebajikan seperti ini pada masa akan datang. “Kami berharap lebih ramai pihak tampil menyertai program-program kebajikan seperti ini kerana impaknya yang besar kepada masyarakat,” ujar beliau.
Sementara itu, YBrs. Puan Suzanna Md Suboh, ahli badan gabungan MKN yang mengikuti program ini, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan inisiatif tersebut. “Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila berpeluang berkongsi rezeki di bulan Ramadan ini. Semoga usaha murni ini membawa manfaat dan keberkatan buat semua,” ujar beliau.