Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada Jumaat lalu diserikan dengan forum bertajuk Wanita Beraspirasi Membina Generasi MADANI. Forum ini menekankan peranan wanita dalam membentuk masyarakat Malaysia MADANI, selaras dengan enam rukun MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
Forum ini dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pedagogi Bahasa Inggeris, YBrs. Encik Terry Yap Chee Keong, dengan barisan panel yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), YBhg. Profesor Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Kamariah Abd Rahman serta Dekan Fakulti Psikologi dan Sains Sosial Universiti Cyberjaya, YBrs. Profesor Madya Dr. Anasuya Jagathevi Jagathesan.

Melalui perbahasan beliau, YBhg. Profesor Dr. Nik Salida menekankan kepentingan pendidikan dalam memperkasakan wanita agar lebih berdaya saing.
Wanita perlu menyahut seruan MADANI dengan mencari ilmu kerana kesarjanaanlah yang mengangkat martabat wanita. Sesebuah masyarakat tidak boleh mengangkat wanita hanya dengan kekuatan fizikal semata-mata, sebaliknya ilmu dan pendidikanlah yang memberikan mereka kekuatan sebenar.
Beliau turut merujuk sejarah perjuangan Tan Sri Hajah Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain yang memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan dengan menubuhkan sekolah khas buat mereka. Langkah ini, menurut beliau, membolehkan wanita terlibat secara langsung dalam politik, ekonomi, sosial dan budaya, sekali gus membina generasi MADANI yang lebih seimbang.
Sementara itu, YBhg. Datin Kamariah Abd Rahman yang juga Pegawai Penaksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) membincangkan peranan wanita dalam aspek kewangan, khususnya dalam membina keluarga dan masyarakat.
Beliau mendedahkan bahawa berdasarkan laporan cukai pendapatan HASiL, sumbangan cukai individu penggajian wanita bagi tahun taksiran 2022 adalah sebanyak 43.81 peratus, manakala bagi tahun taksiran 2023 meningkat kepada 44.23 peratus atau 1.6 juta wanita tenaga kerja yang menyumbang cukai.
Dari segi cukai pendapatan individu perniagaan, wanita menyumbang sebanyak 33 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan nilai cukai yang dikutip mencecah RM800 juta pada tahun 2023. Hal ini menunjukkan bahawa wanita memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Dalam aspek kesejahteraan psikologi, YBrs. Profesor Madya Dr. Anasuya Jagathevi menegaskan kepentingan kesihatan mental bagi memastikan wanita kekal produktif. Menurut beliau, masih ramai wanita enggan mendapatkan bantuan kaunselor atau pakar psikologi kerana stigma yang berkaitan dengan kesihatan mental.
Kajian menunjukkan bahawa kemurungan dalam kalangan wanita lebih tinggi berbanding lelaki, dengan 83 peratus wanita mengalami gangguan berbaur seksual sama ada di rumah atau di internet. Oleh itu, penting untuk wanita mempunyai sistem sokongan yang kukuh, sama ada melalui rakan-rakan atau aktiviti rekreasi yang membantu mengurangkan tekanan.
Majlis turut meraikan enam Tokoh Pendidikan Wanita MADANI yang terdiri daripada pengetua dan guru besar atas sumbangan mereka dalam dunia pendidikan. Penghargaan ini bertujuan mengiktiraf usaha dan dedikasi mereka dalam membentuk generasi pelajar yang berdaya saing.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, YBhg. Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal Abas serta Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad.
Sebagai simbolik penghargaan kepada wanita, sebanyak 600 kuntum bunga telah diedarkan kepada setiap wanita yang hadir bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025.