Diterbitkan pada 8 Mac 2025, 13:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diadakan pada Jumaat telah dianjurkan secara bersama-sama dengan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan KPM bertujuan untuk menghargai sumbangan besar wanita dalam pembangunan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 8 Mac setiap tahun dan pada kali ini membawa tema cukup signifikan, iaitu “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” dalam membina generasi yang jauh lebih hebat.

Antara program dalam acara sambutan tahunan ini termasuklah forum yang bertajuk “Wanita Berinspirasi Membina Generasi MADANI” dan penyampaian anugerah kepada pemimpin wanita yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam sektor pendidikan.

Tokoh Pendidikan Wanita MADANI yang mempamerkan kejayaan, kerajinan, komitmen serta inovasi yang luar biasa.

Penerima Tokoh Pendidikan Wanita MADANI terdiri daripada tiga orang pengetua dan tiga orang guru besar yang mempamerkan kejayaan, kerajinan, komitmen serta inovasi yang luar biasa, iaitu Puan Nor Hamizah Daud (SK Padang Temu, Melaka); Puan Wong Ve Chin (SJKC Khai Meng, Perak); Puan Rosnah Said (SK Telok Ira, Pahang); Puan Noor Ashikin Yusoff (SMK Sultanah Asmah, Kedah); Puan Jennifer Asing (SMK St Michael, Sabah) dan Dr. Rani Abd Mutalib (SMK Dato’ Ahmad Maher, Kelantan).

Acara ini telah dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek; Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPM, Datin Kamariah Abd Rahman; pengurusan tertinggi serta warga KPM.

Para hadirin mengenakan pakaian berwarna ungu bersempena dengan warna tema majlis tersebut.

Bunga daisi yang diberikan oleh YB Fadhlina Sidek kepada semua peserta yang hadir dalam majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut juga, sekuntum bunga daisi diberikan oleh YB Fadhlina Sidek untuk setiap wanita yang hadir sebagai tanda penghargaan dan ingatan kecil bagi meraikan jasa wanita dalam membina negara.

Majlis tersebut turut diisi dengan slot perkongsian ilmu serta keintelektualan daripada Dato’ Dr. Profesor Nik Salida Suhaila, iaitu Komisioner Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan dua orang lagi panel dari KPM.

Kredit Foto: Facebook Fadhlina Sidek
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi