Diterbitkan pada 6 Mac 2025, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Ledakan kandungan video pendek seperti TikTok, Reels dan YouTube Shorts memberikan impak besar terhadap kesejahteraan individu, khususnya dari aspek psikologi, sosial dan kekeluargaan.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Zainal Madon berkata media elektronik seperti televisyen sebelum ini membawa pengaruh tersendiri, kebolehcapaian tinggi kandungan digital pada hari ini menjadikan impaknya lebih meluas dan kompleks.

Dari sudut positif, video pendek dapat menyampaikan maklumat dengan pantas, mengemas kini pengetahuan dan menyebarkan kemahiran seperti memasak, pengurusan kewangan dan gaya hidup.

“Kandungan yang dirancang dengan baik dan mempunyai objektif yang jelas boleh memberikan manfaat besar kepada masyarakat,” jelas beliau.

Profesor Madya Dr. Zainal Madon

Namun begitu, beliau mengakui kebebasan dalam ekosistem digital turut membawa cabaran besar, terutama kemunculan pencipta kandungan yang tidak bertauliah dan penyebaran maklumat yang tidak ditapis.

“Maklumat yang tidak tepat boleh mencetuskan salah faham, fitnah dan menyumbang kepada diskriminasi serta stereotaip terhadap kumpulan tertentu,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, fatwa atau pandangan agama yang menyimpang juga boleh tersebar dengan mudah memberikan kesan buruk kepada masyarakat.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kandungan video yang sensasi dan provokatif mampu menggugat keharmonian sosial serta perpaduan komuniti.

Terdapat kandungan yang memberikan tekanan sosial kepada individu dengan mencetuskan perbandingan hidup yang tidak realistik, lantas mewujudkan rasa rendah diri.

Dalam institusi keluarga fenomena ini boleh menimbulkan ketegangan dan mengganggu kekuatan hubungan.

Tambah beliau, perkara yang lebih membimbangkan dalam jangka panjang ialah individu mungkin terdorong untuk menonjolkan imej palsu bagi menutup kelemahan diri dan hidup dalam kepura-puraan.

Pencipta kandungan perlu mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab sosial dan memahami kesan besar yang boleh berlaku akibat penyebaran maklumat tidak tepat atau toksik.

Pendidikan literasi media amat penting bagi memastikan masyarakat dapat menilai maklumat dengan lebih bijak.

Beliau turut menyeru agar keseimbangan antara kebebasan berkarya dan etika dalam penghasilan kandungan diberikan perhatian supaya platform digital dapat dimanfaatkan secara positif.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, YBrs. Dr. Mastura Mahamed memaklumkan bahawa platform video pendek semakin berpengaruh dalam bidang kewartawanan tatkala agensi berita arus perdana mula mengadaptasi format ini untuk menarik perhatian pengguna digital.

Generasi muda semakin cenderung menjadikan video pendek sebagai sumber utama berita.

Keadaan ini mendorong banyak organisasi berita untuk mengubah strategi penyampaian kandungan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital.

Dr. Mastura Mahamed

“Apabila kandungan asli telah diubah dan disunting oleh pihak tertentu, mesej sebenar boleh terjejas menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Kajian mengenai landskap kewartawanan di Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa Indonesia, TikTok lebih diterima sebagai medium penyampaian berita. Di Malaysia, masih terdapat cabaran untuk memastikan kesahihan kandungan berita dalam format video pendek.

“Video pendek boleh menjadi sumber berita yang berkesan, tetapi perlu ada mekanisme kawalan dan tanggungjawab etika dalam penghasilan serta penyebarannya bagi mengelakkan gangguan terhadap kesejahteraan mental dan sosial masyarakat,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi