Diterbitkan pada 5 Mac 2025, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist (MGSS), Kuantan telah diiktiraf secara rasmi sebagai Heart Safe School sekali gus menjadikannya sebagai antara sekolah pertama di negeri Pahang yang dilengkapi dengan peralatan perubatan kecemasan canggih apabila menerima sumbangan Automated External Defibrillator (AED) daripada Kelab Rotary Indera Mahkota.

Majlis perasmian ‘Heart Safe School’ yang berlangsung di dewan sekolah ini pada 24 Februari pukul 10.00 pagi, telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Tuan Sim Chon Siang. Katanya dalam ucapan perasmian itu,

“Dengan adanya AED ini, kita bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah dapat memberikan rawatan sebelum bantuan perubatan profesional tiba. Hal ini sekali gus dapat melatih generasi muda tentang kepentingan kecemasan perubatan.”

Dalam majlis tersebut, pihak Kelab Rotary Indera Mahkota yang diketuai oleh Presiden Kelab, Dr. Ahmad Fakhrullah Annuar menyerahkan sumbangan AED kepada pihak sekolah melalui interaksi kelab sebagai langkah bersedia untuk menangani insiden serangan jantung secara mengejut.

Dalam ucapannya, dimaklumkan bahawa Kelab Rotary sangat komited dalam usaha memperkasakan kesedaran tentang penjagaan kesihatan komuniti, terutamanya dalam kalangan pelajar dan guru.

“Kesedaran tentang kepentingan bantuan kecemasan jantung perlu ditingkatkan di semua institusi pendidikan. Dengan adanya AED di sekolah, kita boleh bertindak pantas dalam situasi kecemasan dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup,” ujar beliau.

Majlis ini turut menyaksikan demonstrasi penggunaan AED oleh pakar perubatan yang terdiri daripada Rotarian bagi memastikan warga sekolah mengetahui cara menggunakannya dalam situasi kecemasan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah ahli rotari, Dato’ Rizal Chek Hashim dan  Dato’ Ng Koong Sinn, barisan pentadbir MGSS dan wakil PIBG MGSS. Langkah ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada sekolah lain untuk mengambil inisiatif yang serupa dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta tenaga pengajar.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi