Diterbitkan pada 4 Mac 2025, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi menyeimbangkan bidang pengajian antara sains tulen dengan sains sosial kemanusiaan, khususnya dalam memperkasakan bidang bahasa, sastera dan budaya di universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, ketika menjawab persoalan YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Negara semalam, menyatakan bahawa KPT telah memperkenalkan program akademik bersifat interdisiplinari, termasuk ijazah bersama (joint degree), ijazah berganda (double degree) dan ijazah dua (dual degree).

“Kita mahu memastikan graduan bukan sahaja menguasai satu bidang khusus, tetapi juga memiliki pemahaman merentas disiplin. Sebagai contoh, program Sarjana Muda Linguistik kini turut mengandungi elemen teknologi maklumat bagi membolehkan pelajar menguasai kedua-dua bidang,” katanya.

Selain itu, KPT juga memperkukuh kerjasama dengan industri bagi memastikan aspek budaya dan bahasa diterapkan bagi mempersiapkan graduan untuk bidang pekerjaan. Antara inisiatif yang diambil termasuk melantik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Malaya (UM) sebagai panel penasihat industri bagi usaha ini.

Menurut beliau, kajian berkaitan dengan warisan budaya yang sedang dilakukan oleh beberapa buah universiti termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menjawab soalan YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang mengenai kekurangan tenaga pakar dalam bidang pengajian Melayu di universiti, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menegaskan bahawa KPT akan memastikan universiti-universiti mempunyai tenaga akademik mencukupi.

“Kita mempunyai sebanyak 18 universiti yang menawarkan program berkaitan dengan sastera dan bahasa. Dalam Pelan Pendidikan Tinggi yang akan datang, kita akan memastikan keperluan tenaga pengajar dipenuhi agar kesinambungan kepakaran dalam bidang ini terjaga,” jelas beliau.

Dalam sesi yang sama, YB Senator Datuk Dr. Haji Azhar Ahmad turut bertanya mengenai potensi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh bahasa, sastera dan budaya.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry mengakui bahawa AI memberikan cabaran besar, terutamanya dalam soal etika dan inklusiviti serta cara pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) mentafsir kandungan yang dihasilkan.

“KPT sedang memastikan kandungan tempatan dimasukkan dalam sistem AI seperti ChatGPT. Jika tidak, tafsiran budaya kita mungkin lebih dipengaruhi oleh unsur luar yang boleh menyebabkan peminggiran nilai tempatan,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, KPT berusaha membangunkan ekosistem pembelajaran yang bukan sahaja menekankan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) tetapi juga STEAM dengan tambahan seni, bahasa dan budaya sebagai elemen penting dalam pendidikan tinggi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi