Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Ampat – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat Perlis dengan kerjasama pihak sekolah telah menganjurkan program amal khas bersempena dengan bulan Ramadan dengan menyampaikan sumbangan kain batik dan kain pelekat kepada warga sekolah.
Program ini mendapat sokongan penuh daripada Yang Dipertua PIBG, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Hasimah Ismail yang menyifatkan inisiatif ini sebagai tanda penghargaan kepada tenaga kerja sekolah atas dedikasi mereka dalam mendidik pelajar.
“Program ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan guru dan staf sekolah malah turut menyemai semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti sekolah,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Simpang Ampat, Encik Syagul Yuhanis Mohd Yusof pula berkata, program ini amat bermakna dalam menyemarakkan keindahan Ramadan serta memberikan manfaat kepada sebanyak 105 warga sekolah yang terdiri daripada pelbagai kategori tenaga kerja.
“Sumbangan ini melibatkan guru, anggota sokongan, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan serta guru praktikum yang semuanya memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi sekolah.
“Semoga usaha murni seperti ini terutamanya pada bulan Ramadan akan diteruskan bagi menyokong komuniti pendidikan serta memperkukuh nilai kemanusiaan dalam kalangan masyarakat,”ujarnya.
Selain daripada pemberian sumbangan kain batik dan kain pelekat, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan sepanjang Ramadan, antaranya termasuklah program Ihya Ramadan yang merangkumi majlis berbuka puasa bersama-sama dengan murid asnaf, bacaan al-Quran serta pembacaan 40 hadis yang diadakan pada setiap hari Jumaat sepanjang tahun.
Dengan kejayaan penganjuran program ini, PIBG berharap lebih banyak inisiatif kebajikan dapat direalisasikan pada masa akan datang demi memperkukuh hubungan komuniti sekolah dan menanam nilai keprihatinan dalam kalangan generasi muda.