Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati bahawa tiada peruntukan undang-undang yang jelas mengenai pendakwaan kesalahan percampuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) di mahkamah.
Menurut pihaknya, hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember lalu mendedahkan kegiatan pencampuran BPT dan BPI sudah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawalnya.
“Susulan Mesyuarat JKKMN tersebut dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, KPKM telah diarahkan untuk memperhalus kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan,” jelas pihaknya menerusi kenyataannya semalam.
Tambah pihaknya lagi, kaedah tersebut termasuk usaha merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Hasil siasatan mengenai kehilangan BPT terjawab apabila Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang ditubuhkan oleh KPKM mendapati bahawa punca kekurangan bekalannya disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT dan tiada peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras dalam Akta 522.
Jelas pihaknya, harga siling BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 dan harga belian padi sekitar RM750 per metrik tan pada waktu itu.
Selepas 17 tahun, harga minimum belian bagi satu tan padi diselaraskan sebanyak dua kali, iaitu RM1,200 pada tahun 2014 dan RM1,300 pada tahun 2024 dengan penyelarasan terkini berkuat kuasa pada 16 Februari 2025 ialah RM1,500, namun harga siling BPT masih tidak berubah.
Dalam situasi ini, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi untuk meningkatkan pendapatan; pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan; pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.
Oleh itu, ujar pihaknya, ketidakseimbangan berlaku dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertakan dengan semakan harga siling BPT menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, setersunya menjejaskan bekalan BPT di pasaran.
KPKM berkata pihaknya juga memberikan komitmen penuh dalam usaha untuk menyempurnakan siasatan mengenai kehilangan beras putih tempatan (BPT) dengan memperkenalkan teknologi baharu pengesanan pencampuran beras melalui penggunaan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA).
Mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai usaha penyelesaian jangka panjang.
Selain itu, KPKM turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024 untuk mencari penyelesaian “menang menang” kepada pesawah, pemain industri dan pengguna.
Antara langkah awal yang diambil termasuklah usaha menstrukturkan semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) serta memperkasakan peranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengenal pasti varieti beras melalui teknologi DNA.
Malah, langkah ini turut merangkumi pemberian subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram untuk membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah mendapatkan bekalan beras dengan harga berpatutan, selain membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.