Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Mac 2025, 11:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan pemantauan berterusan ke atas makanan yang dijual di bazar sepanjang bulan Ramadan.

KKM dalam satu kenyataannya semalam berkata, tindakan tersebut adalah untuk memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan di bawahnya.

“Aktiviti pemantauan yang dijalankan pada sepanjang rantaian makanan ini telah dimulakan sebelum Ramadan merangkumi pemeriksaan sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan dan para peniaga yang dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelas pihaknya.

Pemeriksaan turut diperluas ke hotel yang menyediakan bufet Ramadan, premis pembekal bahan mentah serta premis penyediaan ais.

Tambah pihaknya lagi, peluasan pemeriksaan tersebut bagi memastikan semua pihak terlibat dalam penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Peniaga makanan perlu memberikan perhatian pada aspek penting di bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat,” ujarnya.

Tindakan seperti penggunaan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.

Sementara itu, KKM memaklumkan bahawa pihaknya akan memperhebat kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan yang lebih meluas dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuklah media sosial, televisyen dan radio.

Di samping itu, pihaknya turut menasihatkan orang ramai untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang bulan Ramadan untuk mengelakkan insiden keracunan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung dengan isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Selain itu, pengguna juga boleh melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Facebook PKKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi