Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Bersempena dengan bulan Ramadan yang bakal tiba, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menyantuni penjawat awam di kementerian dan rakyat di beberapa buah negeri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, YM Tunku Nashrul Abaidah menerusi kenyataannya berkata, Perdana Menteri akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian untuk menjadikan bulan tersebut sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadat tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Sepanjang bulan Ramadan, YAB Perdana Menteri akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang akan disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
“Menerusi program ini, nilai seperti kejujuran, disiplin dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam selaras dengan teras “kesejahteraan” dalam gagasan MADANI,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.
Perdana Menteri juga telah bersetuju untuk turun ke beberapa buah negeri sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, selain bertemu dengan masyarakat setempat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
“Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran rasmi kerajaan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk turut serta dalam majlis berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya bahawa komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran dan pengukuhan nilai spiritual merupakan elemen penting dalam mewujudkan kepercayaan antara rakyat dengan kerajaan.
Pejabat Perdana Menteri mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong dan menyertai inisiatif ini demi kebaikan dan kemajuan negara.
“Marilah kita menjadikan Ramadan ini sebagai bulan islah, yakni pembaharuan dalam komunikasi pentadbiran dan kehidupan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung.
Tegas beliau, tujuan utama taklimat tersebut adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi, yakni Pejabat Perdana Menteri.
Melalui taklimat ini, Pejabat Perdana Menteri akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa taklimat tersebut merupakan langkah penting untuk menangkis sebarang penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
“Inisiatif ini selaras dengan gagasan MADANI yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya.