Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 28 Februari 2025, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Batu Pahat – Sekolah Digital merupakan sebuah pendekatan institusi pendidikan dalam membudayakan teknologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi penyampaian pedagogi yang dinamik dan inovatif selaras dengan pelancaran Dasar Pendidikan Digital Negara pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Adnan ketika merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Digital (Santuni MADANI) di Sekolah Kebangsaan Seri Telok semalam, pembudayaan tersebut turut merangkumi aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah, selain melahirkan pelajar yang fasih digital.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Azman Adnan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis tersebut.

Beliau berkata bahawa terdapat tiga keadaan utama dalam pendekatan tersebut, iaitu pelajar dapat meneruskan pembelajaran walaupun guru bertugas di luar sekolah; pelajar yang berada di luar sekolah sama ada dirawat di hospital atau berada di rumah atas sebab tertentu berpeluang untuk mengikuti proses pembelajaran dan pengajaran dan aktiviti di luar bilik darjah seperti kokurikulum boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Kita berharap supaya masyarakat tanpa mengira agensi, syarikat korporat dan sebagainya bersama-sama membangunkan pendidikan digital di semua sekolah dalam negara.

“Untuk memastikan usaha pendigitalan dapat dioptimumkan dan diintegrasikan, maka itu kita perlu memastikan ekosistem pendidikan negara adalah kukuh,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan pelantar Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DeLIMA) yang mengandungi bahan sokongan pembelajaran dan aplikasi kecerdasan buatan untuk murid dan guru.

Saya mengharapkan penggunaan pelantar DeLIMA sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Perkara ini ialah elemen sokongan yang kita berikan kepada institusi pendidikan untuk mempercepat proses melonjakkan kualiti pendidikan.

“Kita mahukan perubahan berlaku dengan cepat dan memberikan kesan yang besar supaya pelajar yang kita lahirkan ialah mereka yang mampu berdaya saing,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh enam teras utama yang menjadi fokus KPM dalam Dasar Pendidikan Digital, iaitu murid fasih digital, pendidik kompeten digital, budaya kepemimpinan digital berwawasan, pengupayaan infrastruktur dan infostruktur, kandungan digital berkualiti dan rakan strategik yang komited.

Pada masa yang sama, turut diadakan penyampaian sumbangan prasarana seperti papan pintar, baucar buku digital, televisyen LED, pendingin hawa serta wang tunai kepada sekolah yang berada di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat.

Penajaan sumbangan berkenaan hasil kerjasama daripada pelbagai pihak, iaitu Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Daerah Batu Pahat, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Perbadanan Kota Buku, Yayasan Didik Negara dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah, Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) KPM, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, YBrs. Encik Ali@Zainalabidin Syed Mohamed; Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Daerah Batu Pahat, YBrs. Encik Lim Chai Kui dan Penolong Naib Canselor, Penolong Naib Canselor (Digital dan Infrastruktur) UTHM, YBhg. Profesor Dr. Nazri Mohd Nawi.

Kredit Foto: Facebook - KPM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi