Diterbitkan pada 20 Februari 2025, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa terus memainkan peranan penting dalam memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui konsep didik hibur. Selain menyediakan teks kreatif dan bukan kreatif, majalah ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat penulisan mereka melalui ruangan seperti “Cerpen Siswa”, “Puisi Siswa” dan “Minda Remaja”.

Menurut Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar ketika ditemu bual dalam rancangan Cakna Bahasa di Bernama Radio, karya yang dihantar oleh pelajar akan disaring dan dinilai oleh editor sebelum diterbitkan. Beliau menyatakan bahawa karya yang telah diterbitkan bukan sahaja menjadi motivasi untuk pelajar terus berkarya, tetapi juga berperanan dalam pengembangan bahasa, sastera dan tamadun bangsa. 

Selain menerima honorarium, pelajar yang karyanya diterbitkan dalam majalah Dewan Pelajar atau Dewan Siswa turut mendapat nilai tambah melalui penerbitan karya tersebut. Para pelajar juga berpeluang menyertai bengkel penulisan kreatif seperti Minggu Penulis Kanak-kanak (MPKK) dan Minggu Penulis Remaja (MPR), yang menjadi platform bagi mengasah bakat dan meningkatkan kemahiran menulis mereka. Tambahan pula, karya yang diterbitkan berpeluang dinilai dalam pertandingan seperti Hadiah Tunas Cipta serta sayembara persembahan dan pengkaryaan pada peringkat zon, negeri dan kebangsaan.

Bagi memperkasakan budaya membaca dan pengkaryaan dalam kalangan pelajar dan guru, DBP telah melaksanakan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) sejak tahun 1989 untuk majalah Dewan Siswa dan 1990 untuk majalah Dewan Pelajar. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan majalah sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran, di samping membantu guru mempelbagaikan teknik pengajaran di sekolah. 

Program ini menyasarkan murid sekolah rendah melalui program MDK Dewan Pelajar, pelajar sekolah menengah melalui program MDK Dewan Siswa serta guru sekolah rendah dan sekolah menengah melalui Bengkel untuk Guru. Dalam bengkel ini, guru akan diberikan bimbingan tentang penggunaan majalah dalam kelas.

Majalah DBP bukan sekadar bahan bacaan berkaitan dengan bahasa Melayu semata-mata, malah turut menyediakan sisipan pembelajaran untuk mata pelajaran utama di sekolah. Dewan Pelajar menampilkan bahan pembelajaran untuk Matematik, Bahasa Inggeris, Sains, Sejarah, simpulan bahasa, peribahasa dan istilah semasa. Sementara itu, Dewan Siswa pula menyediakan bimbingan bagi mata pelajaran seperti Bahasa Melayu SPM, KOMSAS, Matematik SPM, Sejarah SPM, Fizik SPM, Biologi SPM, Pengajian Am STPM dan MUET.

YBrs. Dr. Rosmani turut menegaskan bahawa kandungan majalah ini digunakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dalam proses penggubalan soalan peperiksaan. Oleh itu, membaca majalah DBP secara tidak langsung membantu pelajar membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

Selain Dewan Pelajar dan Dewan Siswa, DBP turut menerbitkan pelbagai majalah lain yang boleh dijadikan rujukan oleh guru dan pelajar, antaranya termasuklah Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Tamadun Islam, Dewan Budaya, dan Dewan Ekonomi.

Dalam usaha untuk memastikan majalah terus relevan, Dewan Siswa baru-baru ini menampilkan temu bual eksklusif bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkaitan peluang dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Selain membincangkan isu berkaitan dengan sistem pendidikan, majalah ini juga menampilkan topik yang berkaitan dengan kandungan kurikulum di sekolah, seperti panduan menulis karangan dan esei serta ruangan khas untuk pelajar berkarya.

DBP terus komited menerbitkan majalah-majalah yang berkualiti sebagai medium pembelajaran yang dapat memberikan manfaat kepada pelajar dan guru. Dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh majalah DBP, diharapkan agar majalah tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa ilmu dan pemikiran pelajar, selain membantu pelajar dalam menghadapi cabaran akademik dan peperiksaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi